KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Pasukan Tiny Techies dari Malaysia membawa pulang empat pingat emas pada Pertandingan Robotik Global (GRC) 2025 di Bangkok dari 30 Okt hingga 2 Nov lepas.
Pengarah program Tiny Techies Areehan Abdullah berkata pasukan itu turut memperoleh satu perak, dua gangsa serta dua kedudukan keempat dalam pelbagai kategori termasuk Sumo Robot dan projek kreatif.
Beliau berkata kemenangan itu disumbangkan oleh pelajar sekolah dari Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Felda Linggiu, Johor dan NADI Felda Gunung Besout 1, Perak yang mewakili Malaysia ke pertandingan tersebut.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa semangat ingin belajar, inovasi dan kerja berpasukan mampu membawa generasi muda kita ke peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumpulan pelajar yang telah mengharumkan nama negara itu terdiri daripada Muhammad Afiq Mohd Nazre dan Mohamad Ariff Danial Mohammad Rizal dari NADI Felda Linggiu bagi kategori Senior manakala kategori Junior diwakili Nur Damia Khalisya Mohd Rizalman dan Deeniya Irdhina Muhammad Sobri dari NADI Felda Gunung Besout 1.
Mereka masing-masing dibimbing petugas NADI Nur Fadzlin Maarus dan Suhaila Suliman.
Areehan berkata Tiny Techies akan terus komited dalam melahirkan pelajar berfikiran kreatif, berdaya saing dan berpengetahuan dalam bidang robotik serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau turut berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk meneroka dunia STEM pada masa hadapan.
Tiny Techies ialah inisiatif pendidikan digital bersama pusat NADI di seluruh negara bagi memperkasakan pelajar dengan kemahiran STEM, robotik dan pengaturcaraan selain membuka peluang penyertaan ke pertandingan antarabangsa.
-- BERNAMA
