POLITIK

BN SABAH PERKENAL AI CHATBOT PERKENAL CALON, TAPIS BERITA PALSU

08/11/2025 07:24 PM

KOTA KINABALU, 8 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini memperkenalkan AI Chatbot BN Sabah, satu inisiatif teknologi baharu bagi memperkenalkan calon-calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pelancaran oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu, sebagai satu langkah strategik BN untuk mendekati pengundi muda serta memodenkan cara komunikasi parti dalam era digital.

Ahmad Zahid berkata pengenalan Al Chatbot BN Sabah, mencerminkan kesungguhan BN untuk beradaptasi dengan perubahan zaman dan kehendak generasi baharu.

“Ini membuktikan bahawa BN bukan sekadar parti bersejarah, tetapi parti yang terus bergerak seiring kemajuan teknologi dan aspirasi rakyat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan BN Sabah di sini.

Menurut kenyataan itu, Al Chatbot BN Sabah berfungsi sebagai platform interaktif yang membolehkan rakyat khususnya golongan muda dan pengundi baharu mengenali calon-calon BN dengan lebih dekat, memahami latar belakang mereka serta mengikuti aktiviti kempen dan dasar perjuangan BN di seluruh Sabah.

“Selain memperkenalkan calon, inisiatif ini juga menjadi usaha BN Sabah dalam menangani penularan berita palsu yang semakin berleluasa di media sosial, menjelang pilihan raya.

“Chatbot ini akan menyalurkan maklumat sahih dan rasmi secara terus kepada rakyat, sekali gus memastikan setiap maklumat yang diterima adalah tepat dan berfakta,” menurut kenyataan itu.

Platform AI Chatbot ini boleh diakses melalui dua saluran utama iaitu www.prnsabah.com dan BNComm Sabah dan akan beroperasi sepenuhnya bermula 12 Nov, bertepatan dengan fasa kempen utama menjelang PRN Sabah ke-17.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Ibu Pejabat UMNO Sabah di sini, sebelum mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Esok, Ahmad Zahid dijadual menghadiri majlis pengumuman calon BN pada PRN Sabah ke-17 oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebelum beliau melancarkan Jentera BN.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan