AM

RAMANAN GALAK KOPERASI BAHARU SABAH MANFAAT INISIATIF KUSKOP

08/11/2025 10:10 PM

KOTA KINABALU, 8 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggalakkan koperasi baharu di Sabah, untuk memanfaatkan sepenuhnya pelbagai inisiatif serta kemudahan yang dirangka di bawah kementerian itu, bagi memperkasakan ekosistem keusahawanan koperasi di negeri itu.

Timbalan Menterinya Datuk Seri R. Ramanan berkata usaha itu, perlu digerakkan bersama bagi memastikan koperasi beroperasi secara telus, berintegriti dan mematuhi tatakelola ditetapkan.

Beliau berkata kementeriannya komited untuk memastikan gerakan koperasi terus berkembang maju dan inklusif demi masa depan ekonomi yang lebih adil dan mampan.

“Hari ini kita buat program, ia satu program advokasi dan pemantauan. Program ini untuk memberitahu koperasi-koperasi, ahli-ahli koperasi mengikut tatakelola, macam mana mereka mahu jalankan aktiviti-aktiviti koperasi.

“Kita juga ada geran-geran kecil yang kita berikan, tetapi hanya boleh diberikan kalau mereka mengikut tatakelola, mereka mengikut cara dan peraturan-peraturan yang sedia ada di SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi dan Pemantapan Tatakelola Koperasi Baharu Negeri Sabah, di sini hari ini.

Program anjuran SKM itu berjaya menarik penyertaan 60 koperasi dengan kehadiran 200 peserta dari seluruh negeri Sabah.

Ramanan berkata antara inisiatif SKM yang disediakan ialah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), Skim Pembiayaan Industri Kraf (TEKUN Nasional), Projek Premis Tamu Desa, Geran Pembangunan Koperasi dan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM.

Sejak penubuhan koperasi pertama negara pada 21 Julai 1922, sektor koperasi kini berkembang pesat dengan mencatat 16,284 koperasi aktif di seluruh negara, melibatkan keanggotaan melebihi tujuh juta orang.

Koperasi-koperasi ini turut merekodkan perolehan tahunan sekitar RM68.18 bilion, manakala Sabah sahaja menyumbang sebanyak RM774 juta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan