KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Berikut ialah titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-69, di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar hari ini.
Ya Malik, Ya Khaliq, Ya Aziz, Ya Adzim.
1. Dialah ALLAH yang tiada tuhan selain Dia, Raja Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki Segala Keagungan, Maha Suci, ALLAH dari apa yang mereka sekutukan. Hamba-Mu melafazkan kalimah kesyukuran atas limpah rahmat Mu Ya Allah yang telah membolehkan hamba-Mu menyambut hari ulang tahun keputeraan kali keenam puluh sembilan dalam keafiatan dan terus bersemayam di takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dalam suasana negeri yang aman lagi sejahtera dan rakyatnya hidup rukun dan damai.
2. Tahun ini negara menyambut ulang tahun kemerdekaan keenam puluh lapan. Diputerakan 11 bulan sebelum bumi ini diisytiharkan negara merdeka, Beta merupakan generasi yang dibesarkan di bumi yang baharu mencapai kemerdekaan dan menempuhi usia pendewasaan dalam sebuah negara yang rancak mengisi agenda kemerdekaan. Justeru itu, Beta tiada pengalaman hidup zaman penjajahan atau menyaksikan gerakan dan perjuangan menuntut kemerdekaan. Beta mempelajari zaman penjajahan serta gerakan dan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan melalui catatan sejarah.
3. Sejarah mencatatkan kemerdekaan negara diperoleh melalui kebijaksanaan diplomasi, kearifan mentafsir isu yang sangat membimbangkan pentadbir kolonial, dan persepakatan yang dicapai oleh rakyat pelbagai kaum di bumi ini. Daya tarikan dan panjang akal, dikembari dengan kebijaksanaan diplomasi, dan sifat pragmatis, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman (Al-marhum) mencerminkan keluarbiasaan kebijaksanaan seorang negarawan; lantas memberikan kemenangan berunding kepada beliau yang berjaya mempertahankan kedaulatan takhta Raja-Raja Melayu, di samping berjaya menjamin perlindungan keistimewaan kepada orang Melayu yang diimbangi dengan kepentingan kaum-kaum lain, tersurat dimaktubkan dalam Perlembagaan Merdeka. Yang Teramat Mulia Tunku, yang memiliki hikmah dan keikhlasan, berserta jiwa kenegaraan yang tinggi, telah mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat merentasi kaum - merentasi agama – merentasi negeri. Rakyat pelbagai kaum dan agama di sebelas buah negeri di bumi ini, berjaya disatukan; mereka bersedia bekerjasama, bukan sahaja melalui pakatan politik tetapi membentuk komuniti yang lebih besar.
4. Ratu Elizabeth dalam perutusan yang diutusi pada 31 Ogos 1957 mengucapkan:
“I have entrusted to my uncle the duty of acting as my representative at the celebrations of the Independence of your country. This is a great and memorable day for you; my thoughts and my good wishes are with you as you take up the great and stimulating responsibilities of independence; and it is with deep and real pleasure that I welcome you to the brotherhood of our Commonwealth family of nations.
I am confident that Malaya will respond worthily to the challenging tasks of independence, and that she will continue to show the world that example of co-operation and goodwill between all races that has been so marked feature of her history.
May God bless you and guide the new nation”.
5. Hakikat sejarah tidak boleh dipadam. Kemerdekaan negara ini dicapai melalui perjuangan bersama. Negara ini dibangunkan melalui usaha bersama. Perjuangan dan usaha bersama rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada pelbagai kaum – pelbagai agama, disusuli enam tahun kemudian, oleh rakyat Sabah dan Sarawak apabila terbentuknya pada tahun 1963, negara Malaysia yang merdeka lagi berdaulat.
6. Tikar merdeka yang dihamparkan kepada kita ialah hasil tangan anyaman nenek moyang kita secara bersama; secara bijak nenek moyang kita menganyam mengkuang pelbagai warna, disulam menjadi sebidang tikar untuk dijadikan tempat duduk mengalas kehidupan, membolehkan anak cucu melunjur sila di padang damai Malaysia. Warga yang patriotik, warga yang berjiwa Malaysia wajib mempertahankan perpaduan yang telah lama teranyam antara kaum yang menganuti pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa. Perpaduan ialah asas penting untuk menjamin kelangsungan, kerukunan, kemakmuran dan kemerdekaan negara ini. Justeru itu, apa juga perbuatan yang berpotensi memecahbelahkan perpaduan dan hubungan harmoni antara kaum wajib ditentang secara tegas.
7. Usaha menyatupadukan rakyat semestinya menghadapi halangan besar, apabila ada kalangan rakyat yang memilih mahu mensensasikan isu kaum, isu agama, isu negeri dan isu wilayah, pada waktu yang kita sepatutnya lebih memberi fokus, mematangkan kerjasama dan mengukuhkan persefahaman yang dirintis dan dibina oleh pemimpin terdahulu. Negara ini jangan dijadikan rumah sengketa, tempat berpesta dalam kalangan insan yang mabuk kuasa. Merdeka itu bakal hancur maknanya apabila lidah sebahagian rakyat bersifat lebih bisa daripada anak panah beracun, memilih meracuni fikiran rakyat.
8. Kemerdekaan bukan sekadar perayaan mengibarkan bendera sambil menyanyikan lagu jalur gemilang. Kemerdekaan merupakan lambang maruah bangsa, titik mula sebuah negara berdiri dengan kaki sendiri. Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi turut memiliki kebebasan minda dan kematangan politik, serta kejayaan menumbuhkan ekonomi dan membangunkan negara; dan lebih utama didukung oleh rakyat yang menghayati semangat satu warga – satu negara. Lebih enam dekad kita berusaha membina sebuah negara berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa. Malaysia yang bermula daripada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, ialah negara yang termaktub dalam klausa-klausa Perlembagaan Negara, mengiktiraf komposisi rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum yang menganut pelbagai agama, serta mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.
9. Manusia yang pelbagai bangsa dan puak, dicipta oleh Ilahi. Allah Subhanahu Wata’ala maha mengetahui muslihat dan matlamat di sebalik penciptaan-Nya. Umat manusia yang dikurniai akal sewajibnya berupaya, secara bijak mentafsirkan apa-apa yang tersirat di sebalik yang tersurat, agar berupaya memahami dan menghayati kalam Ilahi yang terkandung dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah mencipta kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya) ...
(Surah al-Hujurat 49:13)
10. Ayat 13 Surah al-Hujurat bermula dengan seruan “wahai umat manusia”. Seruan peringatan Ilahi ini ditujukan kepada seluruh umat manusia, merangkumi umat Islam dan bukan Islam. Allah Subhanahu Wata’ala menyeru agar manusia, yang berbangsa dan bersuku puak berkenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain. Allah Subhanahu Wata’ala melarang manusia daripada bersengketa dan bermusuhan.
11. Allah Subhanahu Wata’ala mengurniai umat manusia akal untuk berfikir. Berfikirlah secara bijak. Manusia yang bijaksana akan mentafsirkan ciptaan Ilahi yang pelbagai itu sebagai aset berharga. Kepelbagaian kaum, agama, budaya dan bahasa hendaklah diterima sebagai rahmat kekayaan kurniaan Ilahi di bumi ini. Amatlah malang kepada tamadun sesuatu bangsa, amatlah merugikan peradaban manusia sejagat, jika kelainan dan perbezaan dilihat dari lensa negatif yang sarat dengan buruk sangka. Sikap negatif sedemikian akan hanya merosakkan hubungan harmoni sesama manusia dan semestinya akan menjejaskan paksi keseimbangan (the axis of equilibrium) dalam hubungan antara kaum dan hubungan antara agama.
12. Bumi yang kita pijak ini memiliki segala komponen perbezaan daripada segi agama, kaum, budaya dan bahasa untuk mementaskan teater persengketaan. Alhamdulillah bumi ini dikurniai watak dan penulis skrip yang tidak memilih untuk mementaskan teater persengketaan. Melalui hikmah kebijaksanaan pemimpin terdahulu, elemen yang pelbagai itu berjaya digabungkan dan dicantumkan sehingga terbinanya negara Malaysia, merdeka lagi berdaulat, aman lagi tenteram, makmur lagi sejahtera. Semangat permuafakatan yang telah diasaskan dan dicapai oleh barisan pemimpin ketika membentuk negara merdeka yang berdaulat hendaklah terus dihormati. Sebarang suara, tuntutan dan perbuatan yang bercanggah dengan semangat permuafakatan tersebut, wajib ditentang demi memastikan kelangsungan kedaulatan sebuah negara merdeka yang aman, harmoni dan makmur.
13. Demi kepentingan kelangsungan negara-bangsa, gunakan akal kurniaan Ilahi secara bijaksana. Tindak tanduk yang terlalu dipengaruhi emosi, dibimbangi akan membawa kerugian besar. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membela nasib rakyat terutama dalam kalangan mereka yang hidup daif dalam kemiskinan. Rakyat tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik yang bagaikan tidak ada penghujungnya, sedangkan negara lebih memerlukan sumber tenaga dan sumber kekayaan ditumpukan kepada kerja-kerja yang lebih produktif.
14. Beta hargai persepakatan yang diperoleh daripada Raja Muda, Raja Di Hilir, Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar dan ahli Dewan Negara membantu Beta memenuhi amanah sebagai Amirulmukminin. Beta menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para Hakim, ahli-ahli Dewan Negeri, para ulama, para umara, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, para penghulu, imam dan pemimpin agama, serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, yang masing-masing telah menyempurnakan amanah mengusahakan supaya negeri ini dapat dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera. Demikian jua penghargaan Beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan serta warga keseluruhannya yang telah memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh Kerajaan Beta.
15. Berpegang dan yakinlah kepada rahmat ILAHI untuk melakukan yang makruf dan yakinlah akan perlindungan ILAHI untuk memerangi yang mungkar; tegapkan iman yang luhur agar terbina sebuah negara bangsa yang kukuh bersatu – teguh berpadu, aman lagi makmur, sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan ILAHI, seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran, ayat 15 Surah Saba.
16. YA GHAFFAR, YA LATIF, YA QAYYUM, YA SALAM, Hamba Mu, memohon ihsan dari Mu, agar dikurniakan hikmah, dianugerahkan taufik - dilimpahkan hidayah untuk berupaya memenuhi amanah-Mu, melaksanakan pemerintahan secara adil lagi saksama, memiliki kekuatan menegakkan yang makruf – memiliki kecekalan mencegah yang mungkar. Semoga negeri Perak Darul Ridzuan senantiasa mendapat lindungan dari Mu jua; semoga hamba-Mu dan sekalian rakyat jelata dilimpahi keselamatan dunia dan kebaikan akhirat.
-- BERNAMA
