MELAKA, 9 Nov (Bernama) -- Pengakap Malaysia merancang untuk memperluas program Pengakap Berasaskan Komuniti ke Borneo bermula tahun depan.
Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Bersara Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin, berkata langkah itu diambil bagi membuka peluang kepada kanak-kanak dan remaja yang tidak berpeluang menyertai persatuan itu di peringkat sekolah.
Beliau menjelaskan, ketika ini terdapat kekangan kerana sesetengah sekolah mengehadkan bilangan pelajar yang boleh menyertai persatuan.
“Justeru, menerusi kaedah ini, mana-mana murid atau pelajar yang tidak dapat menyertai persatuan berkenaan di peringkat sekolah boleh menyertai program di peringkat komuniti.
“Mereka berpeluang mengikuti latihan dan modul yang telah dirangka, seterusnya menerima lencana-lencana tertentu sebelum ditauliahkan sebagai Pengakap Raja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) 2025 di sini hari ini.
Sebanyak 569 individu termasuk 12 perwakilan asing menerima Bintang dan Pingat PPM dalam istiadat yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Naib Presiden Majlis Pengakap Negara Datuk Zamani Tambichek mendahului senarai penerima dan dianugerahkan Bintang Semangat Padi (BSP) - Perak dan diikuti Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Ahmad Sabri Saad yang turut menerima anugerah kedua tertinggi PPM itu.
Dr Mohd Zin berkata aktiviti kepengakapan mampu mepupuk kepimpinan, disiplin dan sahsiah golongan muda yang menyertainya menerusi nilai-nilai positif yang diajar di dalam persatuan itu.
Katanya, program ini juga mampu membantu peserta mengelak daripada terjebak dengan aktiviti tidak sihat, termasuk membuli, kerana mereka diasuh dengan nilai-nilai murni sejak kecil.
-- BERNAMA
