AM

TAUFAN FUNG-WONG: PENGGIAT RADIO AMATUR DIMINTA TIDAK GUNA FREKUENSI 7.095 MHZ

09/11/2025 03:25 PM

MELAKA, 9 Nov (Bernama) -- Malaysian Amateur Radio Transmitters' Society (MARTS) menyeru semua penggiat radio amatur di Malaysia agar mengosongkan aktiviti bagi frekuensi 7.095 MHz yang kini sedang digunakan oleh Philippine Amateur Radio Association (PARA) untuk komunikasi kecemasan susulan ancaman Taufan Fung-wong yang sedang melanda negara itu.

Timbalan Presiden MARTS Zanirul Akhmal Zanirun berkata langkah itu diambil selepas Kesatuan Radio Amatur Antarabangsa (IARU) Wilayah 3 mengeluarkan notis rasmi memohon kerjasama semua stesen radio amatur di rantau ini agar memberikan laluan dan tidak menggunakan frekuensi berkenaan bagi membolehkan trafik kecemasan beroperasi tanpa gangguan.

“Menurut laporan, Suruhanjaya Telekomunikasi Kebangsaan (NTC) Filipina telah mengaktifkan kumpulan radio amatur dan sivik di setiap wilayah bagi membantu komunikasi kecemasan kerajaan, terutama di kawasan yang terputus hubungan akibat taufan.

“Sehubungan dengan itu, penggiat radio amatur di Malaysia digesa memberikan kerjasama penuh dengan menjauhi sebarang aktiviti di frekuensi tersebut dan memberikan keutamaan sepenuhnya kepada PARA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata radio amatur ialah talian hayat ketika krisis dan setiap bantuan kecil yang diberikan oleh komuniti radio amatur boleh membawa impak besar kepada operasi menyelamat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan