PUTRAJAYA, 9 Nov (Bernama) -- Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 yang diterajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melabuhkan tirainya semalam dengan penuh meriah selepas berlangsung selama lima hari bermula 4 hingga 8 Nov lepas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut kenyataan KPT hari ini, edisi kedua festival berprestij itu menyaksikan peluasan penganjuran ke seluruh negara dengan acara turut diadakan di 13 negeri sepanjang Oktober, sebelum acara kemuncak di Putrajaya bertemakan “MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea.”
KPT memaklumkan Putrajaya FOI kini diiktiraf sebagai gerakan nasional selepas Jemaah Menteri bersetuju menjadikannya acara tahunan dalam kalendar nasional, sekali gus mengiktiraf peranannya sebagai platform utama pemerkasaan idea, inovasi, dan daya cipta rakyat Malaysia.
"Pada masa sama, terdapat cadangan menjadikan Putrajaya FOI sebagai program rasmi di bawah Program Pendidikan Tinggi ASEAN dan di peringkat serantau," menurut kenyataan itu.
Pelbagai pencapaian serta rekod baharu dicatatkan menerusi Putrajaya FOI, dengan jumlah pengunjung mencecah 2.05 juta, merangkumi 550,000 pengunjung fizikal dan 1.55 juta pengunjung maya.
"Ini membuktikan sokongan dan minat yang tinggi daripada masyarakat terhadap platform ilmu dan pengetahuan untuk bersama membangunkan negara tercinta," menurut kenyataan itu.
Menurut KPT, beberapa segmen utama termasuk Sidang MyIDEAS yang menjadi platform wacana, pembentangan dan perkongsian idea berimpak tinggi, dengan 234 sesi melibatkan 251 pemimpin, pakar, akademia dan pemain industri.
“Sidang MyIDEAS ini telah diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Sidang Wacana Akademik Terbanyak dalam Satu Acara Idea dan Inovasi di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, KPT memaklumkan MyIDEAS Connect menampilkan lebih 200 pavilion dan reruai dengan penglibatan 2,000 pempamer daripada Institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta agensi kerajaan, industri dan komuniti yang menyaksikan 102 pertukaran perjanjian strategik bernilai lebih RM172 juta, meliputi kerjasama dalam penyelidikan, inovasi dan perkongsian perkhidmatan.
Penyertaan antarabangsa turut meningkat dengan kehadiran lebih 1,000 pemikir, akademia dan pelajar antarabangsa, serta pengumpulan 10,000 idea kreatif melalui platform IdeaVault, yang berpotensi menjadi penyelesaian inovatif terhadap isu semasa.
"Putrajaya FOI ini telah membuktikan komitmen KPT untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai teras pembangunan negara MADANI yang menyeimbangkan kemajuan ilmu, teknologi dan nilai kemanusiaan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
