MELAKA, 10 Nov (Bernama) -- TikTok, platform video mudah alih terkemuka memperluas program kesedaran keselamatan digitalnya ke luar Lembah Klang menerusi program Surf’s Up: Deputies of Digital Literacy yang disampaikan kepada graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), dengan menekankan kepentingan menjadi warga siber bertanggungjawab.
TikTok memaklumkan media sosial telah menjadi sebati dengan kehidupan bakal graduan namun kebanyakan mereka yang baru memasuki alam pekerjaan, masih mempunyai kurang kesedaran tentang impak kekal jejak digital mereka dengan apa yang dikongsi hari ini mampu mempengaruhi reputasi profesional dan peluang kerjaya mereka pada masa akan datang.
"Oleh itu, TikTok bersama UTeM dan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), telah menyampaikan panduan praktikal melalui sebuah sesi panel dengan perbincangan itu memastikan para graduan memiliki kematangan dan tanggungjawab digital yang diperlukan, supaya mereka dapat memanfaatkan dunia digital untuk membina kredibiliti profesional serta menyumbang secara beretika kepada ekonomi digital Malaysia," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan TikTok, siri keempat jelajah universiti Surf's Up oleh TikTok Malaysia yang diadakan semasa Pesta Konvokesyen UTeM pada 1 Nov lepas bertemakan Online With A Purpose yang membimbing bakal graduan teknikal dalam membina jejak digital yang positif dan berwibawa sekali gus mengetengahkan literasi digital sebagai asas kepada keselamatan peribadi serta perkembangan profesional.
Acara tersebut merangkumi sesi panel interaktif yang dikendalikan Hazeman Huzir dan menampilkan Pengurus Dasar Awam TikTok Malaysia Aliff Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum (CMCF) Mediha Mahmood, Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar) Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber UTeM Dr Muhammad Noorazlan Shah serta Pengasas dan Pencipta Kandungan Aiszzy Electronics ’Aqilah Zainuddin yang meneroka kaitan antara pendidikan, teknologi dan keselamatan dalam talian.
"Dengan latar belakang dalam bidang dasar, akademik dan penciptaan kandungan, para penceramah sebulat suara menegaskan bahawa kehadiran digital pelajar kini tidak lagi terpisah daripada kehidupan profesional mereka, justeru kepekaan digital sudah menjadi kemahiran hidup yang penting buat graduan yang bakal memasuki dunia pekerjaan," menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Muhammad Noorazlan turut berkongsi perspektif akademik dengan mengaitkan tingkah laku dalam talian secara langsung kepada prospek pekerjaan dan literasi digital harus dianggap sebagai kemahiran hidup, bukan sekadar topik bilik darjah.
"Kami tekankan kepada pelajar, kehadiran digital datang dengan tanggungjawab dan majikan hari ini sering menyemak profil media sosial sebagai sebahagian daripada proses pengambilan pekerja... setiap hantaran akan meninggalkan jejak digital kekal.
“Kami menggalakkan pelajar menggunakan platform digital untuk membina kandungan bermakna dan berasaskan kemahiran yang mencerminkan keupayaan mereka — bukan perkongsian tanpa tujuan yang boleh menjejaskan imej profesional,” katanya.
Perbincangan turut menekankan kepentingan usaha kolaboratif antara platform, pengawal selia dan pengguna untuk memupuk persekitaran digital selamat dan dipercayai, dengan TikTok menegaskan komitmen jangka panjangnya terhadap pendidikan keselamatan yang proaktif menerusi kempen seperti #ThinkTwice.
Menurut Aliff, keselamatan dalam talian merupakan tanggungjawab bersama antara komuniti, pengawal selia dan platform dengan pengguna, terutamanya graduan terkini digalakkan untuk #FikirDulu (#ThinkTwice) iaitu berhenti sejenak dan persoalkan kesahihan, keperluan serta kebaikan kandungan sebelum berkongsi.
“Kami ingin memastikan komuniti berasa selamat untuk mengekspresikan diri di platfrom kami, terlindung oleh Garis Panduan Komuniti dan digalakkan untuk mengamalkan tingkah laku positif dengan menggunakan alat keselamatan kami seperti Family Pairing, Manage Topics, Creator Care Mode dan banyak lagi," katanya.
Sementara itu, Mediha pula menekankan kepentingan kawal selia kendiri dan piawaian komuniti sambil berkongsi pandangannya tentang tanggungjawab sivik yang harus digalas oleh setiap warga siber.
“Asas keselamatan dan kredibiliti digital terletak pada tanggungjawab peribadi. Sebagai pengguna, kita perlu bertanggungjawab atas setiap perkongsian. Internet tidak menghapuskan tanggungjawab kita. Sebaliknya, ia memperbesar.
"Kolaborasi kami dalam siri Surf’s Up adalah langkah penting dalam memupuk budaya digital berteraskan kawal selia kendiri, iaitu pilihan bijak menjadi kebiasaan dan setiap kandungan — sama ada daripada pencipta atau penonton — adalah bertimbang rasa, selamat, beretika dan boleh dipercayai,” katanya.
Program itu turut menampilkan segmen Tik-Talk bersama pencipta kandungan, sebagai contoh bagaimana pengetahuan teknikal boleh dijadikan pendidikan digital untuk menginspirasikan graduan UTeM.
’Aqilah, yang juga merupakan jurutera elektronik berkongsi cara beliau menggunakan platform tersebut untuk menceritakan kerjaya, kepakaran dan pengalaman peribadinya daripada mengekod dan membangunkan prototaip projek, hingga bekerjasama dengan industri fesyen tempatan untuk menghasilkan pakaian menakjubkan bagi persembahan selebriti.
"Pada mulanya, saya cuma seorang introvert yang lebih suka bekerja di belakang tabir, namun saya sedar kemahiran kejuruteraan saya boleh memberi inspirasi dan pendidikan kepada orang lain, terutamanya mereka yang ingin tahu tentang teknologi.
"Fokus saya berubah daripada minat peribadi kepada memberikan nilai yang bermakna. Tidak kira ketika mengajar pengekodan atau membina prototaip, saya pastikan maklumat dikongsi adalah tepat, berasaskan kajian dan jelas. Keaslian disokong oleh tanggungjawab inilah yang menjadi pemacu kepada impak positif dalam talian yang berkekalan," katanya.
Menurut kenyataan itu, perkongsian di UTeM diakhiri dengan komitmen lebih 300 graduan dan juga mahasiswa untuk menjadi warga digital yang bertanggungjawab setelah mereka mengikrarkan janji kempen keselamatan #ThinkTwice TikTok.
Penyertaan itu mencerminkan kesungguhan pemimpin masa depan untuk mengamalkan kawal selia kendiri dan perkongsian berhemah dan menerusi tindakan tersebut, peserta menterjemahkan kemahiran mereka kepada tindakan sosial yang positif sambil membantu membina persekitaran digital selamat, bermakna, dan diperkasakan untuk semua rakyat Malaysia.
Surf’s Up di UTeM merupakan sebahagian daripada siri jelajah kampus TikTok Malaysia yang bertujuan memupuk komuniti digital bertanggungjawab dengan lebih 1,000 ikrar berjaya dikumpulkan menerusi siri jelajah yang telah diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), University of Nottingham Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum ini.
-- BERNAMA
