EKONOMI

LIMA WILAYAH KORIDOR TARIK PELABURAN SEBENAR RM87.56 BILION SEHINGGA 31 OKT

10/11/2025 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov  (Bernama) -- Lima wilayah koridor ekonomi negara telah berjaya menarik pelaburan sebenar berjumlah RM87.56 bilion dalam tempoh 10 bulan tahun ini, kata Menteri Kewangan II yang juga memangku tugas Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Amir Hamzah berkata dalam tempoh Januari 2025 sehingga 31 Oktober tahun ini, lima koridor itu berjaya mewujudkan 108,243 pekerjaan.

Lima koridor ekonomi negara adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Pihak Perkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi Dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

"Di samping itu, kita juga sedang melaksanakan Penilaian Impak Berkuasa Koridor (PBK) yang bertujuan meneliti semula peranan dan fungsi serta struktur tadbir urus PBK yang dijangka siap pada suku pertama 2026," kata beliau di Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan dan penggulungan Belanjawan 2026 peringkat jawatankuasa hari ini.

Menjawab mengenai peranan wilayah koridor yang dibangkitkan oleh Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), Amir Hamzah berkata peranan dan fungsi PBK akan lebih tertumpu kepada usaha memudah cara dan merealisasikan pelaburan di wilayah ekonomi koridor selaras dengan hasrat Majlis Pelaburan Negara.

"Kementerian sentiasa menilai dan memantau  kemajuan pembangunan projek menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan peringkat Kementerian, Mesyuarat Majlis Koridor yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Mesyuarat  Penyelarasan di peringkat negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri," jelas beliau lagi.

Menjawab celahan Fathul Huzir mengenai peningkatan peruntukan untuk wilayah koridor di dalam Belanjawan 2026, Amir Hamzah berkata kenaikan peruntukan bagi projek-projek di bawah NCIA dan IRDA melibatkan pembangunan atau naik taraf infrastruktur fizikal. 

"Selain itu, terdapat juga program latihan, pembangunan bakat, ekosistem pelaburan dan keusahawanan desa," kata beliau lagi.

Mengulas dengan lebih lanjut, beliau turut berkata peningkatan keseluruhan bagi lima PBK adalah untuk menampung perbelanjaan operasi seperti pemasaran dan promosi,  sewaan, utiliti, perkhidmatan dan perunding serta lain-lain kos pentadbiran termasuk emolumen.

Menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkenaan pemansuhan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Amir Hamzah berkata perkara yang dibangkitkan tidak relevan memandangkan perbadanan itu masih wujud.

"PKEN Perlis masih wujud, cuma tidak ada permohonan projek baharu sahaja dan ketika ini PKEN  Perlis sedang memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek sambungan," jelas beliau lagi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan