KUALA SELANGOR, 10 Nov (Bernama) -- Pembukaan Persimpangan dan plaza tol Eco Grandeur menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kesalinghubungan bagi penduduk, pemilik perniagaan serta komuniti Puncak Alam secara keseluruhannya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EcoWorld Datuk Chang Khim Wah berkata persimpangan baharu di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) itu akan meningkatkan kemudahan dan pergerakan selain membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan perbandaran berkenaan serta kawasan sekitarnya.
“Dengan melabur dalam infrastruktur utama pada peringkat awal, kami memastikan pembangunan EcoWorld berada pada kedudukan terbaik untuk berkembang sejak permulaan.
“Ia juga sebahagian daripada komitmen terhadap kemampanan bagi mewujudkan destinasi yang mempunyai kesalinghubungan yang kukuh, peka terhadap alam sekitar, rancak dari segi ekonomi serta menawarkan kehidupan berkualiti, yakni komuniti dan perusahaan boleh berkembang bersama,” katanya pada Majlis Perasmian Persimpangan dan Plaza Tol Eco Grandeur di sini hari ini.
Persimpangan bertingkat dan Plaza Tol Eco Grandeur satu inisiatif penting hasil kerjasama awam swasta untuk meningkatkan kesalinghubungan dan merancakkan pertumbuhan wilayah di Puncak Alam dan akan dibuka kepada orang ramai mulai 6 pagi esok.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Chang berkata persimpangan baharu LATAR itu menyediakan akses terus melalui Exit 2502 ke Eco Grandeur, sebuah perbandaran bersepadu seluas 566.55 hektar, dan Eco Business Park (EBP) V, hab perindustrian seluas 339.93 hektar.
“Siap pada Oktober 2025, projek bernilai RM200 juta itu merangkumi pembinaan persimpangan, plaza tol, pelebaran jalan dan penambahbaikan infrastruktur bagi meningkatkan kesalinghubungan dan kelancaran trafik di koridor Puncak Alam,” katanya.
Beliau berkata laluan baharu itu juga dijangka meningkatkan mobiliti penduduk dan pengguna jalan raya, mempertingkat kecekapan logistik perniagaan serta memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar.
“Sehingga kini, lebih 4,600 unit kediaman dan 215 unit komersial siap dibina di Eco Grandeur, manakala 4,600 unit Rumah Selangorku (RSKU) sedang dibangunkan bagi menyokong agenda perumahan Kerajaan Negeri Selangor. Di EBP V pula, sebanyak 416 lot atau unit kilang sudah siap,” katanya.
Pembangunan persimpangan Eco Grandeur-LATAR itu melalui kerjasama rapat antara EcoWorld, agensi kerajaan dan rakan infrastruktur sekali gus mencerminkan kekuatan model kerjasama awam swasta di negara ini dalam menyediakan infrastruktur berimpak tinggi untuk komuniti.
Plaza Tol Eco Grandeur menampilkan 10 lorong, lima untuk setiap arah yang dilengkapi pelbagai sistem pembayaran termasuk RFID, Touch ‘n Go, Open Payment dan SmartTAG.
Projek ini dijangka memperbaiki aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di sepanjang Jalan Meru Tambahan (JMT), terutamanya dengan pertambahan penduduk di koridor Puncak Alam.
Selan itu, ia menjadi pemangkin pelaburan baharu, merangsang aktiviti ekonomi tempatan dan memperkukuh daya tarikan Selangor sebagai hab industri berimpak tinggi serta pelaburan langsung asing (FDI).
Di samping itu, kumpulan berkenaan juga melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur awam termasuk menaik taraf jalan dan langkah mitigasi banjir di sepanjang Jalan Meru Tambahan dan Persiaran Moktar Dahari.
Ia dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk malah komuniti Puncak Alam secara keseluruhan.
Sementara itu, EcoWorld turut memainkan peranan penting bersama Kerajaan Negeri Selangor dalam menghidupkan semula Projek Peneroka yang sekian lama terbengkalai di Puncak Alam, termasuk membina rumah baharu dan memberikan pampasan kepada 987 peneroka yang terjejas.
Inisiatif itu membolehkan keluarga yang telah menunggu lebih 17 tahun memiliki kediaman mereka pada 2020 sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan EcoWorld terhadap pembangunan komuniti dan tanggungjawab sosial.
-- BERNAMA
