AM

FADHILAHANIM RAI PHD SELEPAS HAMPIR 10 TAHUN BERJUANG MELAWAN KANSER

10/11/2025 08:42 PM

BACHOK, 10 Nov (Bernama) -- Hampir sedekad perjuangan penuh liku dan diduga masalah kesihatan, Dr Fadhilahanim Aryani Abdullah, 45, akhirnya berjaya menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang keusahawanan, sekali gus menandakan detik paling bermakna dalam kehidupannya. 

Perjalanan yang bermula pada 2015 itu diuji dengan cabaran luar biasa apabila beliau diagnosis menghidap kanser payudara pada 2017, yang kemudiannya merebak ke tulang tahap empat pada 2023.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata hari ini bukan sekadar hari untuk meraikan pencapaian akademik tetapi juga simbol ketabahan dan kesabaran.

“Perjalanan ini panjang bagi saya, hampir 10 tahun dengan banyak dugaan dan masalah kesihatan. Hari ini adalah hari yang tidak dapat dilupakan, titik penamat perjuangan untuk mendapatkan PhD. 

“Perasaan saya bercampur-baur, gembira dan terharu apabila saya akhirnya berjaya memperoleh PhD berkenaan,” katanya selepas Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UMK ke-15 di sini hari ini.

Sepanjang tempoh itu, Fadhilahanim bukan sahaja menyiapkan tesis dan menjalankan penyelidikan, malah terpaksa menghadapi dua pembedahan besar, 22 kali kemoterapi dan 20 kali radioterapi, selain rawatan lain yang mencabar fizikal dan mentalnya. 

Fadhilahanim berkata walaupun sukar, beliau tetap bertekad menamatkan pengajian PhD.

“Sepanjang perjalanan mendapatkan PhD ini memang sukar tapi saya teruskan juga sebab saya tahu saya mesti habiskan. Sokongan suami menjadi tulang belakang yang mendorong saya menempuh segala cabaran. 

“Tulang belakang saya, tulang belakang paling kuat adalah suami saya. Dia yang menyokong saya, kalau saya tak sihat, dia suruh rehat tapi selalu ingatkan apa sekali pun, kena siapkan PhD. PhD adalah penting dan akhirnya, alhamdulillah saya berjaya,” katanya.

Fadhilahanim turut berkongsi pengajaran hidup yang diperoleh daripada pengalaman itu, menekankan setiap cabaran adalah bentuk ujian Tuhan dan peluang mendekatkan diri kepada-Nya.

“Tuhan dah bagi kita banyak rezeki, cuma Dia tarik sedikit demi sedikit. Dalam kes saya, nikmat kesihatan yang diuji. Apa pun cabaran yang dihadapi, mungkin ini cara kita menuju ke syurga. 

“Jadi, pastikan apa sahaja yang dilakukan, genggam bara api sampai jadi arang. Jangan buat kerja separuh jalan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan