KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis ketamin seberat 6.884 kilogram bernilai lebih RM344,000 oleh seorang pelancong dari China pada 28 Okt lepas.
Pengarah Kastam KLIA Zulkifli Muhammad berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Balai Ketibaan, Terminal 2 selepas mendapati imbasan pada bagasi yang dibawanya mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan terhadap bagasi menemukan beberapa bungkusan kecil plastik lut sinar.
“Di dalam plastik lut sinar itu didapati mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ketamin yang dibalut dengan pembalut aluminium serta ditutup dengan papan dan disorokkan di bahagian dalam pelapik kain bagasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lelaki terbabit bersama barang kes diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan lelaki itu telah didakwa di mahkamah.
-- BERNAMA
