DUNIA

MOHAMAD, BALAKRISHNAN BINCANG ISU BERSAMA DAN PERSIAPAN SESI PEMUKIMAN PEMIMPIN MALAYSIA-SINGAPURA KE-12

11/11/2025 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Menteri Luar Singapura Dr. Vivian Balakrishnan dijadual mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada Selasa, menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri.

Semasa lawatan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kedua-dua menteri akan menilai kemajuan hubungan dua hala, bertukar pandangan mengenai isu berkepentingan bersama serta membincangkan persiapan Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-12, menurut kementerian.

“Sebagai negara jiran dan satu daripada rakan utama dalam ASEAN, Malaysia dan Singapura terus menjalin hubungan erat dan meluas dalam pelbagai bidang.

“Kedua-dua negara juga meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Malaysia dan Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah US$61.40 bilion (RM266.50 bilion) dari Januari hingga Ogos 2025, 8.5 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan