KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Hasil sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 6.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2025 kepada RM657.7 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata pertumbuhan itu disebabkan pengembangan perniagaan yang berterusan dan prestasi positif merentasi semua segmen sektor itu.
“DOSM telah membahagikan segmen berbeza yang membentuk keseluruhan sektor perkhidmatan.
“Segmen-segmen tersebut merangkumi perdagangan borong dan runcit; maklumat dan komunikasi; pengangkutan dan penyimpanan; penginapan; makanan dan minuman; profesional; hartanah; perkhidmatan pentadbiran dan sokongan; perkhidmatan peribadi dan aktiviti lain, serta pendapatan e-dagang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menggabungkan segmen borong dan perdagangan runcit, penginapan serta makanan dan minuman, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kumpulan itu secara kolektif mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.8 peratus pada suku ketiga 2025, lebih tinggi daripada suku pertama dan kedua 2025 dengan jumlah pendapatan mencecah RM496.8 bilion.
Peningkatan dalam perjalanan domestik, perbelanjaan pengguna yang kukuh disokong oleh inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa lebih tinggi menyokong pertumbuhan berkenaan.
Segmen yang terdiri daripada maklumat dan komunikasi, serta pengangkutan dan penyimpanan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 6.4 peratus tahun ke tahun, menjana RM91.0 bilion pada Suku Ketiga 2025.
"Tiga segmen yang terdiri daripada perkhidmatan profesional, hartanah, pentadbiran dan sokongan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 8.8 peratus pada suku ketiga 2025," katanya.
Bagi suku tahunan, Mohd Uzir berkata hasil keseluruhan sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 2.5 peratus berbanding suku kedua 2025, kebanyakannya disokong oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, secara keseluruhannya meningkat sebanyak 2.7 peratus.
DOSM berkata pengambilan pekerja sektor perkhidmatan secara keseluruhan mencecah 4.6 juta, peningkatan 2.4 tahun peratus tahun ke tahun.
“Jumlah gaji dan upah meningkat sebanyak 4.7 peratus tahun ke tahun kepada RM34.5 bilion pada suku ketiga 2025,” katanya.
-- BERNAMA
