KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara telah membuktikan keupayaan mengurus operasi secara fleksibel dan berdikari, termasuk dalam menentukan kadar elaun bagi petugas dan penyelia mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pengurusan PDK kini bukan lagi di bawah kerajaan seperti sebelum 2018, susulan laporan audit yang menekankan keperluan agar pengurusan diserahkan kepada pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO) atas sebab teknikal.
Sehubungan itu, katanya, pengurusan PDK telah diserahkan kepada NGO berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), membolehkan mereka menetapkan bayaran saguhati mengikut kemampuan masing-masing.
“Ada PDK yang memberikan elaun melebihi subsidi RM1,200 sebulan daripada kerajaan. Malah, ada yang membayar upah lebih tinggi daripada gaji minimum RM1,700 sebulan.
“Ini membuktikan PDK boleh bergerak secara fleksibel dan kreatif serta menjaga kebajikan petugas dan penyelia tanpa menjejaskan standard perkhidmatan kepada pelatih, malah tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) yang meminta kerajaan menyemak semula struktur elaun penyelia dan petugas PDK selaras dengan pelaksanaan gaji minimum.
Nancy menjelaskan, walaupun kerajaan bukan majikan, ia tetap komited membantu dalam soal pemberian elaun.
“Apabila kadar gaji minimum dinaikkan, elaun petugas PDK turut ditambah. Contohnya, elaun bermula RM800, meningkat kepada RM1,200 hingga RM1,700 sebulan. Walaupun ia bukan gaji daripada kerajaan, ia lebih kepada elaun, dan kita tetap membantu. Jadi perkara ini perlu diperbetulkan,” katanya.
Selain itu, katanya, kementerian sentiasa menyokong keperluan pelatih dan petugas PDK melalui pemberian subsidi sejak 2021, termasuk menaikkan kadar saguhati penyelia daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan dan petugas daripada RM800 kepada RM1,200 sebulan.
“Oleh itu, bantuan kewangan kerajaan bagi subsidi elaun petugas kini cukup untuk menampung 126 jam kadar gaji minima,” katanya.
Beliau berkata pada tahun ini sahaja, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM140 juta untuk program PDK.
-- BERNAMA
