AM

PROGRAM WHI 2025 PERKASA USAHAWAN WANITA DALAM INDUSTRI HALAL

11/11/2025 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Halal Development Corporation Berhad (HDC) terus memperkasakan golongan wanita sebagai peneraju utama dalam membangunkan ekosistem halal negara, melalui pelaksanaan Program Grand Kick-Off Women in Halal Industry (WHI) 2025: Transformasi Wanita di Dalam Industri Halal.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata inisiatif WHI adalah usaha berterusan kerajaan bersama sektor swasta bagi memastikan golongan wanita terus maju sebagai pemimpin, inovator dan peneraju utama dalam industri halal yang kini dianggarkan bernilai lebih USD3 trilion di peringkat global.

"Program WHI ini bersifat menyeluruh daripada peningkatan literasi halal dan keusahawanan, sehinggalah kepada pembiayaan dan pensijilan halal. Ia mencerminkan usaha negara untuk membangunkan ekosistem halal yang inklusif, kompetitif dan berpaksikan nilai Islam," katanya ketika berucap pada majlis penutup program berkenaan di sini hari ini.

Noraini yang juga Peneraju WHI berkata industri halal kini tidak lagi terhad kepada sektor makanan dan minuman, sebaliknya telah berkembang kepada pelbagai bidang lain seperti farmaseutikal, kosmetik, kewangan Islam, logistik, pelancongan dan fesyen sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada penyertaan wanita.

Justeru katanya, program dua hari yang bermula semalam itu menyediakan pelbagai sokongan kepada usahawan wanita termasuk latihan pensijilan halal, bimbingan keusahawanan, akses pembiayaan serta pasaran, selain memberi ruang kepada mereka untuk membangun kepimpinan, keyakinan diri dan rangkaian sokongan secara mampan.

Noraini berkata sejak dilancarkan pada Jun lepas, WHI telah menarik lebih 400 penyertaan usahawan wanita bagi siri pertama, dengan 153 peserta dipilih menyertai program tersebut melebihi tiga kali ganda daripada sasaran asal sebanyak 50 penyertaan.

"Penyertaan ini membuktikan wanita Malaysia bersedia meneroka peluang baharu dalam industri halal dan mempunyai semangat serta keupayaan untuk bersaing di peringkat global," katanya.

Bertemakan “Transformasi Wanita dalam Industri Halal", program itu turut mendapat kerjasama strategik daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta  Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), yang menyediakan sokongan tambahan melalui latihan kemahiran halal, bimbingan digital dan akses pembiayaan menerusi Halal Integrated Platform (HIP) HDC.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi HDC Datuk Azhari Shaari berkata program berkenaan diwujudkan selaras dengan aspirasi Malaysia menjadi Hab Halal Global yang inklusif, mampan dan berdaya saing menjelang 2030, dan wanita sebagai ejen perubahan sosial yang membawa nilai Halal, integriti dan inovasi dalam pelbagai sektor industri.

"Keterlibatan wanita dalam perniagaan bukan perkara baharu. Saya pernah bertemu seorang usahawan muda yang bermula dengan menjual sambal dari dapur rumah dan kini mengeksport produk sedia dimakan ke beberapa negara jiran. Ini membuktikan apabila wanita diberi peluang dan ilmu, mereka bukan sahaja berdikari tetapi juga mencipta peluang untuk orang lain," katanya.

Antara peserta program WHI ialah Pemilik Syarikat UniNoto Sdn Bhd Sharon Chen, yang berpendapat bahawa program berkenaan amat bermanfaat terutama dalam memahami konsep halal dan proses mendapatkan pensijilan halal.

“Sebenarnya ramai orang salah faham tentang konsep halal. Mereka fikir halal hanya bermaksud 'pork free' atau 'alchohol free' tetapi sebenarnya ia lebih daripada itu. Halal berkaitan dengan kebersihan dan pematuhan terhadap protokol serta prosedur dalam operasi syarikat,” katanya ketika ditemui Bernama.

Sementara itu, Pemilik Syarikat Dawisy Rizqi Maummy Empire, Nirhayati Amran berkata program itu membantu usahawan memahami cara mendapatkan sijil halal bagi meningkatkan kredibiliti perniagaan selain membuka peluang pasaran di peringkat global.

“Daripada program ini, kita dapat belajar macam-macam, termasuk cara memohon sijil halal dan menyusun dokumentasi dengan betul. Bagi saya ini sangat penting memandangkan saya juga ingin mengembangkan perniagaan saya ke pasaran global,” katanya.

--BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan