KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Dokumen Dasar bagi Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan (FTFC) yang disemak akan membolehkan penyedia perkhidmatan kewangan (PPK) mengambil tindakan sesuai untuk memahami pengguna rentan dengan lebih baik serta memberikan bantuan diperlukan, kata jurucakap Bank Negara Malaysia (BNM).
BNM menjelaskan PPK dikehendaki mengenal pasti pengguna yang mengalami kerentanan, memasukkan keperluan pengguna dalam pembangunan produk, membangunkan kemahiran serta keupayaan kakitangan, serta menambah baik perkhidmatan serta komunikasi pelanggan.
Selain itu, Dokumen Dasar bagi Pembiayaan Peribadi juga memperkenalkan keperluan baharu untuk menggalakkan amalan lebih berhemat dalam tawaran pembiayaan peribadi (PF) dan memperkasakan pengguna supaya dapat membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat.
Antara lain, berkuat kuasa 1 Jan, 2027, dasar yang disemak itu menetapkan larangan pinjaman berkadar rata, iaitu kadar faedah dikenakan ke atas keseluruhan prinsipal sepanjang tempoh pinjaman, menyebabkan peminjam membayar jumlah faedah yang sama sepanjang tempoh pinjaman walaupun baki prinsipal berkurangan setiap bulan.
Dasar itu juga akan melarang kaedah Peraturan 78, iaitu faedah dikira berdasarkan formula yang telah ditentukan terlebih dahulu dengan bahagian faedah yang lebih besar diperuntukkan kepada pembayaran awal, yang membawa jumlah prinsipal tertunggak yang lebih tinggi apabila pinjaman diselesaikan lebih awal.
PPK juga dinasihatkan supaya mendedahkan kadar faedah atau kadar keuntungan efektif kepada pengguna.
“Pinjaman berkadar rata dan Peraturan 78 adalah tidak adil kepada pengguna,” kata wakil BNM semasa Bengkel Media BNM mengenai Pemupukan Amalan Lebih Adil kalangan PPK.
Menurut BNM peralihan kepada kaedah baki berkurangan boleh membawa hasil yang lebih adil kepada pengguna, sejajar dengan pindaan Akta Sewa Beli 1967 (HPA 1967) yang dibentangkan di Parlimen pada Oktober 2025.
Akta tersebut akan berkuat kuasa sebaik sahaja diwartakan, yang dijangka pada separuh pertama 2026.
“Bank-bank akan diberikan tempoh tangguh selama 18 bulan bertujuan melaksanakan penambahbaikan sistem sebelum menerima pakai kaedah baki berkurangan bagi sewa beli berkadar tetap.
“Ini akan memberikan tempoh yang mencukupi kepada penyedia sewa beli untuk melaksanakan penambahbaikan sistem dan infrastruktur.
“Kalangan bank yang telah menyelesaikan penambahbaikan sistem boleh menawarkan sewa beli baki berkurangan pada bila-bila masa, dijangka dalam tempoh enam hingga 12 bulan,” menurut BNM.
HPA 1967 ditadbir urus oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dengan kementerian dan bank pusat bekerjasama untuk meminda peruntukan yang lapuk atau tidak adil kepada pengguna kewangan.
Pada masa sama, berkuat kuasa 1 Jan, 2027, dasar tersebut juga mewajibkan pengguna yang memohon PF melebihi RM100,000 supaya melengkapkan modul pendidikan kewangan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) atau PPK.
Langkah itu akan membantu pengguna menilai keperluan pembiayaan masing-masing dan memahami risiko kebankrapan akibat kegagalan membayar balik pinjaman.
“Modul pendidikan kewangan selama 15 minit itu akan membolehkan mereka menilai semula tanggungjawab hutang semasa, menilai kemampuan, serta memahami kos tambahan yang mungkin mereka tidak sedari pada awalnya,” kata jurucakap itu.
-- BERNAMA
