PUTRAJAYA, 11 Nov (Bernama) -- Nilai amanah perlu dijadikan asas dalam pembentukan keluarga agar anak-anak membesar sebagai insan berprinsip dan tidak menyalahgunakan tanggungjawab diamanahkan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata keluarga yang berasaskan nilai kasih sayang dan amanah bukan sahaja melahirkan suasana rumah tangga yang sakinah (tenang dan damai), malah membentuk generasi yang beriman dan berakhlak tinggi.
“Apabila nilai amanah dijadikan teras dalam keluarga, maka nilai itu akan menjadi asas dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat. Kita harus percaya bahawa keluarga adalah asas kepada kesejahteraan masyarakat.
“Pembentukan akhlak perlu bermula dari rumah kerana di situlah nilai kasih sayang dan disiplin pertama kali disemai. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting sebagai teladan utama dalam membentuk anak-anak yang beriman, berakhlak dan bertanggungjawab. Keluarga sakinah bukan hanya rumah yang tenang tetapi juga institusi yang mendidik dengan kasih sayang dan hikmah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Tahunan Agama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) di sini hari ini.
Program dengan tema ‘Keluarga Sakinah, Generasi Amanah’ itu bertujuan membincangkan isu pengurusan keluarga berlandaskan nilai keagamaan, di samping memberi pemahaman dan perkongsian ilmu kepada ahli Puspanita seluruh negara.
Dalam konteks perkhidmatan awam, beliau berkata nilai amanah turut menjadi satu daripada nilai M.A.L.A.Y.S.I.A yang diterapkan di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, yang menjadi tunjang kepada pembentukan budaya kerja berintegriti, beretika dan bertanggungjawab dalam kalangan penjawat awam.
“Apabila setiap anggota perkhidmatan awam berpegang teguh kepada prinsip amanah, sama ada dalam melaksanakan tugas, membuat keputusan atau mengurus sumber, maka seluruh organisasi dan sistem pentadbiran negara akan berfungsi dengan lebih telus, adil dan saksama,” katanya.
Shamsul Azri yang juga Penasihat Puspanita turut memuji organisasi itu dalam inisiatif pemerkasaan penjawat awam dan wanita secara amnya.
Beliau berkata Puspanita bukan sekadar sebuah pertubuhan kebajikan tetapi satu gerakan yang membina minda dan jiwa, menggabungkan spiritual, intelektual dan sosial dalam keseimbangan yang harmoni.
“Penganjuran program seperti ini membuktikan Puspanita sentiasa peka terhadap keperluan semasa, bagi menyemai nilai agama dan moral dalam kerangka kemodenan. Inilah wajah Puspanita yang kita banggakan, progresif tetapi berakar kepada nilai Islam dan budaya bangsa,” katanya.
-- BERNAMA
