AM

PRN SABAH: BEBERAPA JALAN DI LAHAD DATU DITUTUP, LENCONG SEMPENA PENAMAAN CALON SABTU INI

11/11/2025 07:18 PM

LAHAD DATU, 11 Nov (Bernama) -- Beberapa laluan utama di daerah ini akan ditutup serta dilencongkan buat sementara waktu bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Dewan Perdana, Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata penutupan jalan akan bermula pada 5 pagi hingga 12 tengah hari dengan melibatkan Jalan Lahad Datu-Tawau bagi kedua-dua arah bermula dari lampu isyarat Kampung Terusan hingga ke lampu isyarat Bandar Sri Perdana.

“Bagi laluan dari arah Jalan Kampung Betik, penutupan dilakukan di bulatan Jalan Bukit Perdana dan kenderaan akan dilencongkan masuk ke Taman Sri Perdana. 

"Laluan lencongan turut disediakan bagi penduduk di kawasan Taman Aman, Taman Harapan dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulbaharin menasihati pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan di sepanjang jalan yang terlibat serta mematuhi arahan pegawai polis bertugas.

Beliau turut mengingatkan semua calon supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan serta mengelak sebarang tindakan yang boleh mengganggu kelancaran proses penamaan calon.

“Calon dan wakil calon diminta mengawal emosi penyokong masing-masing serta tidak menimbulkan provokasi terhadap penyokong parti lain. Pergerakan konvoi kenderaan bagi tujuan mempamerkan kekuatan parti juga tidak dibenarkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan