AM

INSIDEN BOT KARAM: REMAJA ETNIK ROHINGYA BERTAHAN EMPAT HARI MINUM AIR SUNGAI

11/11/2025 08:12 PM

LANGKAWI, 11 Nov (Bernama) -- Seorang mangsa bot karam dipercayai etnik Rohingya yang ditemukan selamat dikatakan hanya bertahan dengan meminum air sungai di pantai Tanjung Chincin, di sini selama empat hari sebelum diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Iman Sharif dan berusia 18 tahun ditemukan kira-kira 12 tengah hari oleh anggota bomba yang melakukan tinjauan di perairan itu.

Ketika tiba di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bukit Malut, di sini mangsa kelihatan lemah dan tidak bermaya sebelum diberikan makanan dan minuman oleh pihak berkuasa.

Mangsa yang hanya memahami bahasa Bengali kemudiannya menceritakan tentang dirinya dan kejadian bot karam itu menerusi panggilan telefon kepada seseorang yang fasih bahasa tersebut.

Menurut Iman, dia bersama kira-kira 290 ke 300 orang pendatang tanpa izin menaiki sebuah kapal dari Myanmar sebelum dipindahkan ke bot yang lebih kecil ketika tiba di perairan sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, dia bersama 70 pendatang tanpa izin dipindahkan ke sebuah bot dan bergerak ke perairan Malaysia sebelum bot tersebut karam.

Menurut Iman, dia tinggal di kem pelarian Rohingya di Bangladesh dan keluarganya berhubung dengan pihak sindiket termasuk pembayaran untuk datang ke Malaysia.

Dia juga tidak tahu jumlah bayaran yang dikenakan tetapi bayaran kepada sindiket hanya akan dibuat sebaik dia tiba di Thailand.

Sementara itu, Ketua Zon 4 (Langkawi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohd Zamri Abdul Ghani berkata ketika tiba berhampiran kawasan pantai terbabit, mereka melihat kelibat remaja itu yang hanya memakai seluar melambai ke arah pasukan mencari dan menyelamat.

“Kami tidak dapat mendekati kawasan pantai kerana dasar laut yang cetek dan berbatu, jadi kami bertindak mencampak tali kepada mangsa sebelum menariknya ke arah bot,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan