Oleh Mohd Fakri Awang Lah
MELAKA, 11 Nov (Bernama) -- Lebih enam dekad selepas merdeka, Malaysia terus bergerak daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada era digital, dengan teknologi kini menjadi pemacu utama dalam urusan seharian rakyat di bandar dan luar bandar.
Seiring perkembangan itu, pelbagai inisiatif diperkenal bagi memastikan kemajuan teknologi dapat dinikmati secara menyeluruh termasuk oleh komuniti kampung yang sebelum ini berdepan kekangan asas seperti ketiadaan alamat tetap.
Di Melaka, inisiatif Kampung Digital yang dicetuskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kini menjadi pencetus perubahan dalam memperkemas urusan penduduk luar bandar yang masih bergelut dengan isu alamat kediaman walaupun telah puluhan tahun mendiami kediaman masing-masing.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan berkata pelaksanaan inisiatif itu sejajar dengan matlamat kerajaan negeri untuk memperkasa penduduk kampung melalui kemajuan sosial, ekonomi dan teknologi.
“Inisiatif Kampung Digital diwujudkan bagi menyelesaikan isu ketiadaan alamat rumah yang jelas dan berstruktur, memberi manfaat besar dalam pengurusan, penghantaran dan perkhidmatan lain yang berkaitan,” katanya kepada Bernama.
Fairul Nizam berkata melalui inisiatif ini, setiap premis diberikan kod respons pantas (Kod QR) iaitu alamat rumah mereka yang hanya perlu diimbas menggunakan telefon pintar untuk mengakses maklumat rumah di laman portal Kampung Digital.
Beliau berkata inisiatif Kampung Digital akan membolehkan data jumlah rumah dan sempadan kampung direkodkan secara tepat, mewujudkan pangkalan data berstruktur serta boleh dimanfaatkan oleh agensi kerajaan untuk pengurusan bantuan, pelaporan bencana, perancangan pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam secara bersasar serta efisien.
Fairul Nizam berkata pelaksanaan inisiatif dilaksanakan secara berperingkat melalui kolaborasi antara agensi membabitkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Bahagian Teknologi dan Maklumat Komunikasi (BTMK) Jabatan Ketua Menteri Melaka, Pejabat Daerah dan Tanah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
"Semua maklumat distrukturkan dalam sistem berpusat yang menyokong analisis lokasi dan pengurusan alamat secara sistematik. Ia menggunakan Standard Alamat Rumah SIRIM (MS2039:2016) serta data Geografi Information System (GIS) untuk integrasi dengan Sistem Alamat Nasional,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri turut mendaftarkan cap dagangan logo Kampung Digital yang diluluskan pada 9 Okt 2024 sekali gus melindunginya di bawah akta harta intelek untuk tempoh 10 tahun.
Fairul Nizam berkata inisiatif itu turut disokong oleh MCMC melalui dana pembiayaan kira-kira RM3.4 juta bagi pembangunan sistem Kampung Digital dan versi 2.0 sistem berkenaan sedang dibangunkan bagi tujuan integrasi penuh dengan Sistem Alamat Nasional.
Setakat Julai lepas, sebanyak 250 kampung di Melaka telah menerima pelekat Kod QR Kampung Digital membabitkan 36,778 bangunan dan anggaran 143,434 penduduk.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Bukit Duyong Jafri Mamat, 58, berkata inisiatif itu memudahkan persempadanan kampung dan pentadbiran tempatan serta menjamin penyaluran bantuan lebih berkesan tanpa pertindihan kawasan.
"Bagi Kampung Bukit Duyong, setakat Ogos lepas, sebanyak 227 rumah membabitkan kira-kira 800 penduduk telah menerima pelekat Kod QR, dan 130 penduduk telah menukar alamat di kad pengenalan masing-masing," katanya.
Tukang rumah, Mohamad Rizal Husin, 44, berkata inisiatif itu membantu pemilik rumah yang tinggal di lot tanah sama memperoleh alamat masing-masing sekali gus mengelakkan kekeliruan dalam urusan seperti bil utuliti yang sebelum ini dikongsi atas satu nama kerana didaftarkan di bawah geran tanah.
“Dengan inisiatif Kampung Digital, isu ini dapat diselesaikan apabila pemilik kediaman diberikan alamat peribadi masing-masing," katanya.
-- BERNAMA
