AM

POLIS SARAWAK AKAN GUNA SOSMA BAGI LUMPUHKAN SINDIKET DADAH

11/11/2025 08:56 PM

KUCHING, 11 Nov (Bernama) -- Polis Sarawak akan mengambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata tindakan itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan pihaknya kini dalam proses mengumpul maklumat berkaitan.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengedar dadah atau ahli sindiket yang lazimnya ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum ini.

“Sekiranya terdapat keterangan mencukupi, kita akan mengambil tindakan di bawah SOSMA. Ini merupakan satu amaran kepada mereka yang terlibat dalam kegiatan sindiket dan pengedaran dadah.

“Apabila tindakan diambil di bawah kesalahan jenayah terancang, ia bukan sahaja melibatkan pengedar besar tetapi juga pengedar kecil bagi melumpuhkan keseluruhan rangkaian aktiviti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Zainal berkata tindakan di bawah SOSMA bukan perkara baharu kerana ia telah digunakan di negeri-negeri lain dengan keberkesanan yang terbukti.

Beliau berkata bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, kerajaan negeri Sarawak telah membekalkan Instant Visual Drug Detector (IVDD) kepada pihak polis sejak tahun lepas bagi memudahkan saringan awal urin.

Mohamad Zainal berkata susulan itu, beliau yakin kerjasama erat antara pihak polis, kementerian serta agensi berkaitan di Sarawak akan membantu memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dadah dan jenayah yang melibatkan bahan terlarang itu.

“Saya melihat terdapat perbezaan dari segi pendekatan di Sarawak berbanding negeri-negeri lain dan saya amat gembira apabila banyak bantuan, khususnya daripada kerajaan negeri telah diberikan kepada PDRM,” katanya.

Pada Februari lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata SOSMA diperlukan untuk menangani kegiatan jenayah serius, kompleks dan berstruktur yang mengancam keselamatan negara serta ketenteraman awam.

Bercakap pada sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat Saifuddin Nasution berkata antara contoh kes besar melibatkan jenayah terancang dan kumpulan gengster yang disiasat menggunakan SOSMA seperti Geng 360 Devan, Geng Jackie dan Geng Etong yang menjalankan aktiviti haram seperti perdagangan dadah, pelacuran, rompakan bersenjata dan pemerasan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan