Oleh SYED IYLIA HARIZ
KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) -- Keputusan Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah, disifatkan sebagai langkah tepat dan dinanti-nantikan rakyat negeri itu, kata Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Romzi Ationg.
Beliau berkata tindakan itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan Perlembagaan Persekutuan, serta menghormati hak Sabah seperti termaktub dalam perjanjian asal pembentukan Malaysia.
“Saya rasa tindakan demikian satu tindakan yang wajar. Sebab ini adalah tentang perlembagaan. Apabila perlembagaan pun kita tidak memartabatkan, satu benda yang tidak betul. Jadi, keputusan kerajaan untuk tidak membuat rayuan, satu keputusan yang paling tepat dan benda yang dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Romzi berkata keputusan itu, bukan sahaja menggembirakan rakyat Sabah tetapi turut mendapat perhatian seluruh negara yang ingin melihat kerajaan lebih tegas dalam melaksanakan prinsip keadilan yang termaktub dalam perlembagaan.
“Jadi mungkin dengan pengumuman itu juga keyakinan rakyat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meningkat,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA, Kampus Sabah Tony Paridi Bagang berkata keputusan Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan itu, meredakan kebimbangan rakyat Sabah.
“Ia mengambarkan komitmen Kerjaan Persekutuan serta menyahkan segala spekulasi yang membangkitkan sentimen rakyat Sabah baru-baru ini berkaitan isu ini. Walau bagaimanapun, dalam kenyataan tersebut, dinyatakan juga bahawa Kerajaan Persekutuan akan meneliti kecacatan alasan kehakiman. Justeru, masih ada ruang untuk semakan berkaitan isu ini,” katanya.
Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan bagi tahun 1974 hingga hingga 2021.
Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan hari ini berkata keputusan Kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan dengan pemberian khas 40 peratus Sabah menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami harapan dan aspirasi rakyat Sabah.
Beliau berkata Kerajaan Sabah menyampaikan penghargaan kepada Anwar dan Jemaah Menteri atas keputusan itu, yang mengesahkan semula hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Jemaah Menteri telah memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut kenyataan itu, kerajaan menghormati prinsip pemberian khas tersebut dan akan memulakan rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera.
Namun, kerajaan akan merayu terhadap kecacatan dalam Alasan Penghakiman yang menyentuh dakwaan salah guna kuasa dan pelanggaran kewajipan perlembagaan melibatkan kedua-dua kerajaan sejak 1974.
-- BERNAMA
