AM

MALAYSIA JADI HAB PENGAJIAN ISLAM, TUMPUAN SARJANA ANTARABANGSA

13/11/2025 04:15 PM

BANGI, 13 Nov (Bernama) -- Malaysia sebagai hab pengajian Islam antarabangsa serta tumpuan pelajar dan sarjana dari Timur Tengah, Eropah dan Asia merupakan satu daripada 10 tekad utama yang menjadi “roh” dalam resolusi Konvensyen Pengajian Islam Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 hari ini.

Konvensyen bertemakan “Pengajian Islam dan Peradaban MADANI: Integrasi Ilmu dan Tindakan Sosial,” itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. 

Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata tekad lain adalah memartabatkan pengajian Islam sebagai komponen strategik pembangunan ilmu dan moral nasional.

Tekad lain adalah mengarusperdanakan etika teknologi Islam dan literasi digital supaya Malaysia muncul sebagai peneraju “Islamic Techno-Ethics” di rantau ini.

“Konvensyen ini bukan sekadar wadah wacana akademik tetapi manifestasi keazaman bersama untuk memantapkan kedudukan pengajian Islam di institusi pengajian tinggi sebagai teras pembentukan masyarakat beradab dan negara berperadaban.

“Ia sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada konvensyen itu hari ini.

Beliau berkata Konvensyen Pengajian Islam IPT Antarabangsa 2025 adalah landasan strategik dalam memperkukuh ekosistem pendidikan Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Pengajian Islam bukan sekadar bertapak di bilik kuliah tetapi memimpin wacana moral, spiritual dan teknologi dalam dunia kontemporari yang sarat dengan cabaran nilai dan identiti,” katanya.

Sementara itu, beliau memohon kerajaan untuk membantu pembinaan Kursi Allahyarham Datuk Dr Haron Din bernilai RM5 juta yang merupakan tokoh kepada pemerkasaan dunia Islam di Malaysia. 

Konvensyen Pengajian Islam Malaysia IPT Antarabangsa 2025 adalah perhimpunan ilmuwan dan pemimpin akademik negara dalam menzahirkan keutuhan ilmu, hikmah, dan perpaduan dalam memperkasakan pengajian Islam di Malaysia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan