POLITIK

PRN SABAH: AHLI PGRS BERTANDING ATAS TIKET BEBAS DIPECAT SERTA-MERTA

15/11/2025 11:00 AM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) memberi amaran bahawa mana-mana ahli parti yang memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan dipecat serta-merta.

Setiausaha Agung PGRS Datuk Mohammad Razali Razi berkata tindakan bertanding atas tiket Bebas adalah bertentangan dengan pendirian dan keputusan parti itu sebagai komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"PGRS menegaskan bahawa mana-mana individu yang membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan parti dan mana-mana pimpinan parti (PGRS), walaupun mereka merupakan ahli PGRS.

“Sehubungan itu, pihak parti telah membuat keputusan untuk memecat serta-merta mana-mana ahli parti yang melanggar ketetapan tersebut," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru semua penyokong dan jentera parti itu untuk memperkuat kesatuan serta memberi tumpuan sepenuhnya dalam menghadapi PRN Sabah 2025 bagi memastikan kemenangan calon GRS demi masa depan dan kepentingan rakyat Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan