AM

PELANTIKAN SAKERI DIYAKINI PERKUKUH PEMBANGUNAN PUTRAJAYA - DR ZALIHA

15/11/2025 12:18 PM

PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Pelantikan Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir sebagai Presiden merangkap Pengerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) diyakini mampu membawa nilai tambah dalam memacu hala tuju pembangunan Putrajaya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata  pelantikan Sakeri itu juga selaras dengan Perenggan 5(1)(a), Akta Perbadanan Putrajaya 1995 [Akta 536].

"Insya-Allah, dengan pelantikan ini, beliau akan menerajui PP dengan cekap, berintegriti dan visi yang jelas sekali gus memperkukuh agenda pembangunan bandar selari dengan visi Bandar CHASE,”  katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ia termasuk usaha meningkatkan kualiti penyelenggaraan bandar, pendigitalan perkhidmatan perbandaran, pengukuhan mobiliti hijau serta pembangunan komuniti yang inklusif serta perancangan jangka panjang berpaksikan nilai MADANI, selaras dengan perancangan Rancangan Struktur Putrajaya 2050 (RSP50). 

Zaliha turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Fadlun Mak Ujud atas kepimpinan beliau menerajui PPj sejak 2022, khususnya dalam memperkukuh inisiatif bandar pintar, pengurusan hijau, penyediaan kemudahan komuniti dan reputasi Putrajaya sebagai bandar pentadbiran moden amat dihargai.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan Sakeri sebagai Presiden PPj yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini hingga 14 Nov 2027.

Mohd Sakeri, 56, sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) di Kementerian Kerja Raya.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi Matematik) dari Temple University, Amerika Syarikat, serta Sarjana Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan