JENAYAH & MAHKAMAH

AADK PERLUAS PERANAN SUKARELAWAN SKUAD ANTIDADAH DI SEKOLAH

16/11/2025 05:19 AM

BUTTERWORTH, 15 Nov (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memperkasakan peranan sukarelawan SKUAD Antidadah di seluruh negara dengan memperluas inisiatif berkenaan ke peringkat sekolah menerusi penubuhan SKUAD Junior.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Zainudin Abdullah berkata SKUAD Junior dilihat berperanan sebagai platform melatih murid dan pelajar berusia 10 hingga 17 tahun menjadi Rakan SKUAD Antidadah.

“SKUAD Junior adalah latihan awal kepada murid untuk melahirkan generasi muda celik dadah, di samping berperanan dalam komuniti sekolah dalam usaha pencegahan awal isu dadah atau bahan.

“Melalui usaha ini, kita berharap mereka dapat menjadi pelapis kepada SKUAD Antidadah selepas mencapai umur 18 tahun kelak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi SKUAD Antidadah Sempena Perhimpunan SKUAD Antidadah Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sini malam ini.

Turut hadir Presiden SKUAD Antidadah Kebangsaan Mej Bersekutu (PA) Mohamad Shukri Che Wang.

Zainudin berkata pada masa ini, sebanyak 32 sekolah telah menubuhkan SKUAD Junior yang dikendalikan sepenuhnya oleh guru, sama seperti persatuan kokurikulum lain.

Beliau berkata AADK juga dalam proses akhir menyediakan modul khas SKUAD Junior yang akan digunakan bagi merancang aktiviti pencegahan dadah, khidmat masyarakat dan program kesedaran di sekolah.

“AADK turut memperluas keahlian SKUAD Antidadah ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kolej matrikulasi serta kolej vokasional dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.

Zainudin berkata penglibatan golongan muda dalam SKUAD Antidadah amat penting memandangkan lebih 70 peratus individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah terdiri dalam kalangan belia berusia antara 18 hingga 45 tahun.

Beliau berkata pada masa ini terdapat kira-kira 200,000 ahli SKUAD Antidadah berdaftar di seluruh negara dan peluasan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi diharap menggalakkan lebih ramai golongan muda mengamalkan gaya hidup sihat serta tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan