AM

DARIPADA SABUT DAN TEMPURUNG : KRAF KAMPUNG MENAWAN HATI PELANCONG

16/11/2025 01:41 PM

KOTA BHARU, 16 Nov (Bernama) -- Daripada sepohon kelapa terbuang di Kampung Kijang, di sini, lahirlah karya seni unik yang kini menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.

Mohd Zuki Ramli, 28, atau digelar ‘Zuki Tarzan’, memanfaatkan bahan semula jadi serta bahan terbuang seperti tempurung, sabut dan upih pinang sebagai komponen utama kraf tangannya, yang bukan sahaja memikat hati penduduk tempatan, malah turut dibeli pelancong dari Itali dan Jerman.

Bermula sebagai hobi tahun lalu untuk mengisi masa lapang, minat Mohd Zuki kini berkembang menjadi sumber pendapatan sampingan yang semakin mendapat permintaan.

“Permintaan datang dari seluruh negara, tetapi paling menggembirakan saya apabila pelancong luar turut membeli dan membawa pulang hasil kraf ini.

"Itu membuatkan saya yakin bahawa karya kampung juga mampu menembusi pasaran dunia,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Zuki, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah homestay berhampiran kampungnya, memanfaatkan bahan terbuang untuk menghasilkan pelbagai figura haiwan seperti burung camar, kura-kura, semut, belalang serta model kapal layar.

Setiap karya diolah dengan teliti, menggunakan pemberat timah pada bahagian tertentu supaya kepala atau anggota figura dapat bergerak apabila ditiup angin, menjadikan hasil kraf itu tampak lebih hidup dan menarik.

Antara ciptaan yang paling diminati ialah figura semut yang menggunakan rantai kayu dan mayang kelapa sebagai kaki, sekali gus mengekalkan keaslian bahan serta nilai tradisi kampung.

Selain figura haiwan, beliau turut menghasilkan bunga bonsai mini dan daun keladi menggunakan botol minuman terpakai yang dibentuk serta diwarnakan mengikut tona semula jadi bagi menyerlahkan konsep kelestarian alam.

“Harga setiap hasil kraf antara RM20 hingga hampir RM100 bergantung kepada saiz dan tahap kerumitan,” katanya.

Mohd Zuki berkata beliau tidak mengecat keseluruhan kraf bagi mengekalkan tekstur asal sabut dan tempurung, sebaliknya hanya menambah sedikit warna untuk memberi kesan lebih bersinar dan ‘hidup’.

“Bagi saya, kraf ini bukan sekadar hiasan, tetapi simbol bagaimana bahan semula jadi dan terbuang boleh dihidupkan semula menjadi karya yang bernilai,” katanya.

Beliau berharap inovasi itu dapat menjadi inspirasi kepada anak muda untuk meneroka seni kraf serta memanfaatkan sumber alam sekitar bagi menjana pendapatan, sekali gus mengangkat nama Malaysia ke persada dunia.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan