AM

70,000 TAN METRIK DIURUS BERKELOMPOK, PERKASA LANDSKAP GETAH SABAH - AHMAD ZAHID 

16/11/2025 07:13 PM

KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menetapkan sasaran untuk memastikan 70,000 tan metrik hasil getah pekebun kecil dapat diurus secara berkelompok melalui pembinaan rangkaian depoh pengumpulan hasil di Sabah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata 10 unit depoh pengumpulan hasil getah akan dibina di Sabah menjelang akhir 2026 sebagai usaha merealisasikan inisiatif berkenaan.

Beliau berkata langkah strategik itu selaras dengan pelaksanaan Model Transformasi RISDA 2026-2030, yang antara lain memberi tumpuan kepada usaha mengembalikan era kegemilangan Malaysia sebagai pengeluar getah utama dunia.

“Depoh itu akan berfungsi sebagai hab pengumpulan getah bersistematik yang menyediakan proses timbang, rekod dan pembayaran secara lebih teratur dan tersusun,” katanya ketika berucap merasmikan Program Santuni Pekebun Kecil RISDA Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi RISDA Manndzri Nasib dan Penyelaras Penggerak Watan RISDA Sabah Datuk Noraini Idris.

Ahmad Zahid berkata penyediaan infrastruktur itu membolehkan 74,625 pekebun kecil di Sabah termasuk 30,228 pekebun kecil di bawah seliaan RISDA memasarkan hasil mereka dengan lebih cepat, selamat dan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak tengah.

Beliau juga percaya kewujudan rangkaian depoh yang diuruskan oleh RISDA Plantation Sdn Bhd, syarikat milikan RISDA bukan sahaja dapat memastikan sasaran pengumpulan hasil dapat dicapai dengan lebih berkesan tetapi juga membantu ekosistem pemasaran tempatan hasil getah pekebun kecil.

Ahmad Zahid berkata pengukuhan sistem pemasaran melalui kerjasama strategik bersama Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dijangka memberi pulangan langsung kepada pekebun kecil melalui peningkatan pendapatan lebih tinggi, rantaian jualan telus dan pengurangan manipulasi harga.

Beliau berkata pengukuhan sistem itu juga akan merangsang pemulihan keyakinan terhadap pasaran serta pengukuhan kedudukan Sabah sebagai negeri pengeluar getah yang signifikan.

“Selain pemasaran berkelompok, RISDA turut memperluas akses perkhidmatan kepada pekebun kecil melalui Pusat Timbang dan Stor, Pemasaran Getah Bergerak serta pelaksanaan Program Pengeluaran Getah Negara yang memberi tumpuan kepada pemulihan kebun terbiar dan peningkatan produktiviti,” jelasnya.

Ahmad Zahid juga melihat strategi pembeli utama getah itu mampu memastikan pendapatan pekebun kecil berada pada tahap optimum dan stabil seiring agenda Aspirasi Desa MADANI yang digerakkan dengan menekankan keperluan memastikan warga desa menerima manfaat terbaik daripada arus pembangunan negara.

“Saya juga menegaskan bahawa pembangunan pekebun kecil getah memerlukan ekosistem lengkap meliputi produktiviti, pemasaran, logistik dan pengurusan data, bukan sekadar bantuan semata-mata.

“Dengan komitmen semua pihak, pekebun kecil getah di Sabah mampu kekal sebagai penyumbang utama ekonomi desa dan penggerak penting industri getah negara menuju sasaran satu juta tan metrik menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menegaskan supaya semua aktiviti import melibatkan getah dihentikan segera bagi membolehkan harga komoditi itu meningkat dan memastikan pendapatan pekebun kecil berada pada tahap kompetitif.

Beliau turut mengarahkan RISDA, LIGS serta Kementerian Perladangan dan Komoditi supaya tidak bergerak secara silo dalam usaha mengangkat industri getah di negara ini.

“Jangan bergerak secara bersendirian. Sebagai sebuah kerajaan dan agensi berkaitan, kita boleh bersaing secara sihat demi kepentingan para pekebun kecil getah, selain memastikan harga getah dapat dinaikkan semula,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan