DUNIA

RINGGIT DIBUKA TINGGI BERBANDING DOLAR AS DIDORONG PERMINTAAN BAHARU

17/11/2025 09:41 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS daripada penurunan pada Jumaat lepas, didorong oleh permintaan baharu terhadap mata wang tempatan yang disokong oleh asas domestik yang kukuh selepas laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang terkini dikeluarkan.

Pada 8.01 pagi, ringgit dicatatkan pada 4.1230/1390 daripada 4.1290/1345 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ringgit mengukuh kepada paras tertinggi dalam tempoh lebih setahun, paras kali terakhir dicatatkan pada 30 Sept 2024 apabila mata wang tempatan itu diniagakan pada 4.1210 semasa sesi penutup dagangan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pertumbuhan KDNK Malaysia bagi suku ketiga 2025 sebanyak 5.2 peratus yang sejajar dengan jangkaan konsensus, menunjukkan momentum ekonomi stabil dan memberikan sokongan jangka sederhana kepada ringgit.

“Kami menjangka ringgit boleh mengalami pembetulan berikutan mata wang itu telah dibeli secara berlebihan.

“Sementara itu, belum ada kepastian mengenai penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) pada Disember berikutan terdapat ahli Rizab Persekutuan (Fed) AS yang lebih cenderung untuk mengekalkannya,” katanya, sambil menambah ringgit dijangka berada pada paras RM4.13–RM4.14 hari ini.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama pada sesi dagangan awal hari ini.

Ia mengukuh berbanding yen kepada 2.6667/6772 daripada 2.6690/6728 semasa ditutup pada Jumaat lepas, naik berbanding euro kepada 4.7880/8066 daripada 4.7983/8047 dan meningkat berbanding pound kepada 5.4242/4453 daripada 5.4313/4385 sebelum ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN kecuali dolar Singapura yang merosot kepada 3.1735/1861 daripada 3.1720/1765 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.6940/7523 daripada 12.7356/7580 semasa ditutup pada Jumaat lepas, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 246.7/247.8 daripada 247.1/247.5 dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.98/7.01 daripada 6.99/7.00 sebelum ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan