FOKUS BERNAMA

MENYUSURI KEHIDUPAN MASYARAKAT NORDIK DAN KELESTARIAN DI HELSINKI

17/11/2025 10:28 AM


From Zufazlin Baharuddin

Jika kita bersiar-siar di ibu kota Finland, tidak sukar untuk kita memahami mengapa negara Nordik ini dinamakan negara paling bahagia di dunia lapan tahun berturut-turut.

Helsinki mencerminkan nilai teras masyarakat Nordik yang mengutamakan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, kesaksamaan serta kualiti hidup yang tinggi. 

Penulis berada di sini bagi menghadiri program ‘Climate Solutions from Finland’ dari 5 hingga 10 Okt lalu bersama-sama dengan sembilan lagi wartawan, masing-masing dari  Brazil, Chile, China, Perancis, Kosovo, India, Mexico, Arab Saudi dan Amerika Syarikat. 

pic-2

Dianjurkan oleh Kementerian Luar Finland, program ini bertujuan memperkenalkan pelbagai inovasi iklim negara itu kepada media antarabangsa, sementelah Finland dikenali sebagai peneraju ekonomi kitaran.

 Peluang yang jarang-jarang hadir ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh penulis untuk menyusuri bandar raya Helsinki ketika waktu senggang, bagi melihat sendiri gaya hidup masyarakat di sebuah negara paling bahagia di dunia. Finland amnya sebuah negara yang selamat, justeru tidak ada masalah untuk mengembara berseorangan biarpun buat kali pertama. 

 

TENANG DAN AKSES MUDAH 

Helsinki sebuah bandar raya yang menerapkan budaya urban seiring dengan alam semula jadi, dan  agak memeranjatkan kerana di sebalik statusnya sebagai ibu negara, persekitaran kota raya ini begitu tenang dengan jumlah penduduk kira-kira 660,000 orang daripada keseluruhan 5.65 juta rakyat Finland. 

Bandar raya ini tidak begitu sesak dan penulis dapati kebanyakan warganya lebih gemar berjalan kaki, sesuatu yang tidak menghairankan kerana amat mudah untuk ke sana sini, baik berjalan kaki ataupun menggunakan pengangkutan awam seperti trem, sistem metro (seakan sistem LRT dan MRT di Malaysia) dan kereta api. 

pic-3

Penulis sendiri memanfaatkan sepenuhnya kemudahan itu, menaiki kereta api dari lapangan terbang ke pusat bandar, perjalanan yang hanya mengambil masa 30 minit, dan menggunakan trem untuk bersiar-siar. Mod pengangkutan ini menawarkan perjalanan lancar dengan kesalinghubungan yang cekap merentasi kota.

Helsinki mempunyai jalan yang lebar dihiasi deretan bangunan menampilkan seni bina kaya dengan nilai warisan serta taman-taman hijau dan hutan bandar sebagai pelengkap landskap yang mengadunkan alam semula jadi dalam kehidupan seharian warga kota.

Penulis juga sukakan perkara-perkara yang tampak kecil seperti air paip dapat terus diminum, mencerminkan kualiti kehidupan di Helsinki. Sudah tentu aspek ini disokong oleh sumber air semula jadi yang melimpah-ruah, kawal selia ketat kerajaan dan sistem rawatan air yang maju. Namun, kecekapan sistem pengangkutan awam dan kehidupan berkualiti tinggi ini tidak dicapai dalam tempoh semalaman, sebaliknya terhasil daripada perancangan jangka panjang dan komitmen nasional terhadap kelestarian dan kesejahteraan.

 

KELESTARIAN SEBAGAI CARA HIDUP

Finland merupakan pemimpin global dalam ekonomi kitaran dan berdasarkan pemerhatian penulis,  kesedaran alam sekitar serta amalan lestari telah sebati dalam gaya hidup serta cara berfikir masyarakat Finland.

Malah, di hotel penulis, tidak ada satu pun plastik sekali guna. Sesetengah tandas awam pula menyediakan tuala guna semula sementara tong kitar semula terdapat di mana-mana, memudahkan sesiapa sahaja terlibat dalam amalan mesra alam.

Sebagai sebahagian daripada program penyelesaian iklim yang disertai, penulis berpeluang melawat Ainoa, sebuah pusat beli-belah di Helsinki dan belajar tentang sistem pemulangan bekas minuman berasaskan skim deposit-pemulangan, yang mengenakan deposit kecil dan boleh dibayar balik, bagi menggalakkan pengguna memulangkan botol plastik dan kaca kosong untuk dikitar semula. 

Penulis dapati ramai warga Finland membawa berpunjut-punjut botol plastik untuk dikitar semula - tampak kecil namun cukup kuat untuk mengingatkan betapa mendalamnya kesedaran tentang alam sekitar dalam kalangan rakyat Finland, sebuah negara yang benar-benar menetapkan penanda aras tinggi dalam usaha menangani perubahan iklim.

Penulis berserta wartawan lain juga berpeluang melawat Viikki School dan Aalto University, di mana pendidikan memainkan peranan utama dalam meningkatkan lagi kesedaran alam sekitar rakyat Finland.

Di Viikki School, murid-murid diajar prinsip kelestarian pada usia semuda lima tahun. Mereka diajar bagaimana aktiviti harian mereka mampu memberi kesan kepada planet. Di  Aalto University pula, kami bertemu dengan seorang siswazah tempatan yang telah melancarkan syarikat pemula Finland bernama Reverlast, mengubah bilah turbin angin lama menjadi sauna terapung. Pendekatan berinovasi ini bukan hanya memberi hayat baharu kepada sisa industri tetapi juga menunjukkan bagaimana pendidikan Finland memupuk penyelesaian kreatif terhadap cabaran alam sekitar di dunia sebenar.

Keseluruhannya, kelestarian bukan sekadar dasar di Finland tetapi cara hidup yang dapat dilihat jelas dalam rutin harian masyarakatnya seperti mengasingkan sampah, memulangkan botol untuk dikitar semula serta berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan penggunaan plastik.

 

BUDAYA, WARISAN, KEHIDUPAN BANDAR

Helsinki turut menawarkan gabungan tarikan budaya, sejarah dan alam semula jadi. Antara bangunan ikoniknya ialah Senate Square atau Dataran Senat yang terkenal dengan seni bina neoklasiknya; serta Helsinki Cathederal, sebuah gereja besar yang terletak berdekatan.

Dari tangga gereja besar itu, saya dapat melihat Government Palace yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri dan beberapa kementerian penting lain termasuk Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Pekerjaan serta Kementerian Alam Sekitar.

pic-4

Satu lagi tempat menarik untuk dikunjungi ialah Oodi Library, sebuah perpustakaan yang jauh berbeza dengan kutubkhanah biasa. Perpustakaan ini menawarkan kemudahan kerja berkumpulan termasuk studio rakaman, bilik permainan, studio DJ dan karaoke serta pencetak 3D dan mesin jahit.

Di tingkat paling atas, terdapat balkoni di mana orang ramai boleh menikmati kopi; dan juga bahagian kanak-kanak yang lengkap dengan taman permainan. Semasa kunjungan penulis, kelihatan deretan kereta sorong disusun dengan kemas, tanda jelas bahawa ramai ibu bapa membawa bayi dan anak kecil mereka ke perpustakaan ini yang mengalu-alukan kehadiran semua peringkat usia.

Di tengah-tengah bandar pula terletaknya Old Market Hall  yang memberi penulis peluang untuk mencuba hidangan tradisional Finland seperti daging rusa dan sup salmon. Di Market Square yang berhampiran, terdapat banyak gerai menjual makanan laut segar, kraf tempatan dan cenderamata. Tidak jauh dari situ berdiri megah Presidential Palace yang sering digunakan untuk majlis rasmi kerajaan.

Dari Market Square, penulis meneruskan perjalanan ke terminal feri untuk menaiki pengangkutan itu ke Suomenlinna Fortress, tapak Warisan Dunia UNESCO yang merangkumi enam pulau. Dibina lebih tiga abad lalu, kubu ini menjadi destinasi pelancongan popular dan dihuni oleh kira-kira 800 penduduk.

 

SAUNA

Sauna merupakan aspek penting dalam budaya Finland, dengan hampir setiap rumah memiliki kemudahan ini. Sauna ialah bilik kecil yang dipanaskan, selalunya berlapik kayu, yang digunakan untuk tujuan terapeutik seperti istirahat dan mengeluarkan toksin melalui peluh.

Lazimnya, masyarakat Finland menggunakan sauna sebagai tempat untuk berehat dan merapatkan hubungan dengan keluarga serta rakan-rakan, selain bersantai menikmati keseimbangan antara haba, kesejukan dan alam semula jadi – mencerminkan falsafah Finland yang lebih luas dalam mengintegrasikan kesejahteraan dan alam semula jadi dalam kehidupan seharian.

pic-5

Tidak mahu melepaskan peluang, penulis turut serta bersauna dan pengalaman yang dilalui di Uunisaari Sauna sememangnya tidak dapat dilupakan. Sauna tradisional ini terletak di sebuah pulau kecil di selatan Helsinki dan dilengkapi kedua-dua sauna elektrik dan pembakaran kayu.

Penulis mencuba kedua-duanya namun lebih menyukai sauna pembakaran kayu yang terasa lebih menyegarkan dengan aroma kayu terbakar yang menenangkan.

Selepas bersauna, penulis digalakkan untuk terjun ke Laut Baltik yang berais, satu amalan biasa dalam kalangan masyarakat Finland. Tubuh yang masih hangat daripada bahang sauna dikejutkan dengan suhu membeku air laut memberikan satu sensasi yang mengujakan. Tradisi Finland ini menyegarkan dan baik untuk badan serta minda. Secara tidak langsung juga tradisi ini mencerminkan sepenuhnya cara hidup orang Finland yang mengutamakan keseimbangan dalam kehidupan mereka.

Bagi penulis, Helsinki tidak hanya menawarkan pemandangan indah ataupun penyelesaian iklim berinovasi, tetapi turut memperlihatkan sebuah masyarakat yang dibina atas rasa percaya, kesedaran dan cara hidup yang penuh pertimbangan.

Dalam usaha Malaysia menuju negara yang lebih hijau dan lebih sesuai didiami, banyak yang boleh dipelajari daripada Helsinki; bagaimana perancangan bandar yang berwawasan, kepercayaan awam dan kepedulian terhadap alam dapat wujud bersama-sama secara harmoni.

Selain itu, mendidik kanak-kanak tentang alam sekitar dan tanggungjawab sosial sejak kecil membantu mereka membesar menjadi individu dewasa yang dapat memberi perubahan positif kepada komuniti dan negara.

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan