GEORGE TOWN, 17 Nov (Bernama) -- Penang Global Tourism (PGT) aktif menjalinkan kerjasama promosi dengan syarikat penerbangan dan agensi pelancongan dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Oman dalam usaha meneroka pasaran Asia Barat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata ini termasuk penyertaan dalam pameran pelancongan antarabangsa seperti Arabian Travel Market (ATM) Dubai bagi memperkenalkan produk dan pakej pelancongan Pulau Pinang.
“Pada dua tahun kebelakangan ini, penerbangan dari Pulau Pinang ke dua bandar di Asia Barat iaitu Doha (Qatar) melalui Qatar Airways dan Dubai melalui Flydubai telah dilancarkan untuk pasaran Asia Barat.
“Selain itu, PGT mempergiatkan kempen promosi digital yang disesuaikan dengan keperluan pelancong Asia Barat, menonjolkan elemen seperti penginapan mesra Muslim, makanan halal, kemudahan keluarga, kesihatan dan gaya hidup mewah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Bukhori Ghazali (PN-Pinang Tunggal) mengenai strategi dan pencapaian kerajaan negeri dalam meneroka pasaran pelancongan dari Asia Barat termasuk inisiatif utama yang telah dilaksanakan dalam menarik pelancong rantau itu.
Wong berkata kandungan promosi turut diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dan disebarkan melalui media sosial serta portal pelancongan popular di rantau berkenaan.
Bagi meningkatkan daya tarikan pelancong, beliau berkata Pulau Pinang memperkukuh segmen pelancongan kesihatan dengan mempromosikan hospital bertaraf antarabangsa yang menawarkan kepakaran tinggi serta pakej pemeriksaan kesihatan.
Dalam pada itu, beliau berkata kemasukan pelancong China ke Pulau Pinang melonjak sebanyak 520.2 peratus dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, sekali gus mengangkat China sebagai pasaran paling pesat berkembang.
Beliau berkata jumlah pelancong China meningkat daripada 26,056 orang pada 2023 kepada 161,599 tahun ini, menjadikan rakyat negara itu penyumbang kedua terbesar ketibaan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) selepas pelancong Indonesia dengan 284,364 ketibaan, meningkat 12.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.
Sementara itu, Wong berkata kerajaan negeri juga terus memperkukuh kedudukan Pulau Mutiara sebagai hab gastronomi serantau melalui pelbagai inisiatif strategik yang mempromosikan kepelbagaian kulinari serta warisan makanan tempatan.
Beliau berkata antara inisiatif utama adalah penganjuran Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFF) yang merupakan acara tahunan ikonik menghimpunkan pengusaha makanan tempatan, cef terkenal dan penggiat industri bagi memperkenalkan keunikan rasa Pulau Pinang kepada pelancong dalam dan luar negara.
“Selain itu, kemasukan MICHELIN Guide Malaysia yang menampilkan restoran serta penjaja dari Pulau Pinang dan usaha kerajaan negeri yang telah mencalonkan 10 makanan tradisi Pulau Pinang kepada Jabatan Warisan Negara untuk diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan turut mengukuhkan reputasi negeri ini sebagai destinasi gastronomi bertaraf dunia,” katanya.
-- BERNAMA
