KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September, 2025, peningkatan 11 peratus daripada RM57.57 bilion dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.
Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga 2025 berjumlah RM25.07 bilion, mewakili kenaikan 27 peratus daripada RM19.67 bilion pada suku ketiga 2024, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut KWSP, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan pada suku ketiga 2025, menyumbang RM16.95 bilion atau 68 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburannya.
Selain itu, pendapatan tetap meneruskan peranannya dalam pemeliharaan modal, menjana RM6.75 bilion atau 27 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan untuk suku tersebut, manakala hartanah dan infrastruktur menyumbang RM1.14 bilion (4.0 peratus) serta instrumen pasaran wang mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.23 bilion (1.0 peratus).
"Daripada jumlah pendapatan pelaburan untuk suku ketiga 2025, RM20.48 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional dan RM4.59 bilion untuk Simpanan Shariah," katanya.
KWSP juga berkata jumlah aset pelaburan berjumlah RM1.37 trilion setakat 30 September, 2025, mewakili pertumbuhan 12 peratus tahun ke tahun.
Pelaburan antarabangsa menyumbang kira-kira 39 peratus daripada jumlah aset, disokong oleh penilaian pasaran ekuiti global yang berdaya tahan.
"Sepanjang suku tersebut, pelaburan antarabangsa menjana RM13.33 bilion, mewakili 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn menekankan bahawa pertumbuhan 11 peratus dalam jumlah pendapatan pelaburan bersama pertumbuhan 12 peratus dalam aset di bawah pengurusan adalah hasil daripada peruntukan aset strategik KWSP, membolehkannya mengambil bahagian dalam pemulihan pasaran ekuiti pasca “Liberation Day”.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ketika mengumumkan kadar tarif kepada semua negara pada April lepas menamakan hari tersebut sebagai “Liberation Day”.
"Kami didorong oleh kekuatan ekonomi Malaysia yang menyokong 61 peratus portfolio KWSP, pada masa sama meneruskan strategi pelaburan global, menjana 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ini," kata Ahmad Zulqarnain.
Melangkah ke depan, beliau berkata walaupun prestasi dalam tempoh sembilan bulan 2025 sangat menggalakkan, KWSP masih berhati-hati menjelang suku keempat.
"Peningkatan dalam pasaran ekuiti global telah melonjakkan penilaian, manakala isyarat bercampur-campur daripada petunjuk ekonomi global mungkin melambatkan penurunan kadar faedah.
"KWSP secara aktif menguruskan risiko ini dengan mempercepatkan merealisasikan keuntungan yang mungkin sukar pada suku keempat 2025," katanya.
Sementara itu, 427,329 ahli baharu berdaftar dalam KWSP semasa tempoh sembilan bulan 2025, menjadikan jumlah keahliannya kepada lebih 16.5 juta.
Pada masa sama, pendaftaran majikan baharu meningkat sebanyak 62,401, menambah bilangan majikan aktif yang berdaftar dengan KWSP kepada 628,321.
Pada asas suku tahunan, jumlah caruman meningkat sebanyak 10.5 peratus kepada RM27.84 bilion daripada RM25.20 bilion pada suku keempat 2024.
"Caruman sukarela meningkat sebanyak 47.5 peratus kepada RM15.30 bilion dalam tempoh sembilan bulan 2025 daripada RM10.37 bilion tahun sebelumnya," katanya.
-- BERNAMA
