EKONOMI

MALAYSIA PERLUKAN SYARIKAT MULTINASIONAL TEMPATAN DALAM SEKTOR PERKHIDMATAN, PEMBUATAN

17/11/2025 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Malaysia perlu mengembangkan syarikat multinasional (MNC) sendiri dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong.

Beliau berkata selama ini industri bersandarkan kepada teori bahawa sektor pembuatan dan perkhidmatan sebagai saling eksklusif, termasuk kepercayaan bahawa ekonomi akhirnya akan beralih kepada perkhidmatan dan beralih daripada pembuatan.

Liew berkata walaupun sektor perkhidmatan penting, ia perlu berkembang seiring dengan pembuatan untuk memperkukuh ekonomi yang lebih luas.

"Kemudahan pelabuhan kita, perkhidmatan pelabuhan kita, perkhidmatan lapangan terbang kita, perkhidmatan udara kita, syarikat penerbangan kita, rantaian bekalan kita kebanyakannya adalah aktiviti pembuatan dan juga perkhidmatan.

"Jadi saya fikir penting bagi kita untuk tidak lagi bersandarkan kepada teori yang memisahkan perkhidmatan daripada pembuatan, dan kita mahu melihat lebih banyak nilai tambah untuk meningkatkan dan menambah baik kedua-dua sektor pembuatan dan perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya di Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa ASEAN (AIFTIS) 2025, di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Konfederasi Pembekal-Pembekal Perkhidmatan Malaysia (MSPC), Datuk Seri Zohari Akob berkata AIFTIS 2025 akan berfungsi sebagai platform pelaporan tahunan pembekal perkhidmatan Malaysia yang memberikan penjelasan tentang tonggak berkaitan produktiviti dan daya saing.

Tonggak tersebut adalah kepercayaan industri, mobiliti profesional, pembinaan kapasiti, penggunaan teknologi dan keselamatan siber, serta ketersambungan perdagangan dan akses pasaran.

Beliau berkata tonggak ini merupakan asas yang membimbing tindakan industri, dan melalui kerjasama, Malaysia boleh mewujudkan momentum untuk menerajui ASEAN sebagai hab perkhidmatan profesional dan digital.

"Kisah sektor perkhidmatan Malaysia adalah tentang daya tahan, inovasi dan tujuan bersama.

"AIFTIS menyatukan tonggak ini, menyelaraskan inisiatif sektor swasta dengan kepimpinan sektor awam untuk mewujudkan ekosistem kepercayaan, teknologi dan bakat," katanya dalam ucapan alu-aluannya semasa acara tersebut hari ini.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan