AM

PENGUNDI MELALAP TERIMA CALON PARTI POLITIK BUKAN DARI SABAH DEMI PEMBANGUNAN - DR ZALIHA

17/11/2025 05:07 PM

LABUAN, 17 Nov (Bernama) -- Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap tidak membantah calon yang membawa bendera parti politik bukan dari Sabah untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, selepas menyedari hubungan kukuh dengan kerajaan Persekutuan penting demi memastikan pembangunan jangka panjang dapat diteruskan.

Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Jamawi Ja’afar diterima baik oleh penduduk setempat berdasarkan penglibatan beliau yang berterusan dalam inisiatif berkaitan pertanian serta aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Melalap.

Beliau berkata sokongan padu itu jelas dilihat melalui kehadiran besar pada hari penamaan calon, sambil menambah bahawa penduduk memahami kepentingan memilih wakil rakyat yang mampu mewujudkan kerjasama dengan Putrajaya.

"Keberadaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Melalap semalam (16 Nov) jelas mencerminkan penduduk setempat menghargai lawatan beliau. Penduduk di sini tidak menunjukkan sebarang bantahan terhadap kehadiran pemimpin kerajaan Persekutuan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata jentera pilihan raya PH telah mula turun padang berinteraksi dengan pengundi Melalap bagi memahami isu-isu setempat dengan lebih mendalam khususnya berkaitan peluang ekonomi dan infrastruktur.

“Melalap berpotensi besar dalam sektor pelancongan dan pertanian, namun sudah tentu aspek jaringan jalan raya perlu dipertingkat. Saya telah bertemu dengan ramai orang semasa sesi libat urus di kawasan tamu dan mereka mahukan pembangunan serta perubahan sejajar dengan kemajuan dinikmati bandar lain,” katanya.

Beliau turut berharap Melalap dapat menyumbang satu kerusi kepada PH pada PRN kali ini kerana akan membawa manfaat lebih luas kepada kawasan berkenaan khususnya Tenom.

“Mereka sedar bahawa jaringan baik dengan kerajaan Persekutuan amat penting untuk memastikan pembangunan berterusan… fokus mereka adalah terhadap kemajuan, bukannya propaganda,” katanya.

Jamawi akan berdepan saingan lapan penjuru bagi kerusi DUN Melalap, yang terletak dalam kawasan Parlimen Tenom.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan tarikh pengundian awal 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 

N42: MELALAP: SABAH: 21,320

1. Gabriel George Tulas        (Bebas/IND)

2. Priscella Peter                   (KDM)

3. Datuk Jamawi Ja’afar        (PH-PKR)

4. Alviana Linus                     (STAR)

5. Cheld Bryend Lind            (Warisan)

6. Junik Bajit                          (UPKO)

7. Kevin Chong                     (PIS)

8. Fatimah Ibrahim                (Bebas/IND)

 

(2020: Peter Anthony: Warisan Plus-Warisan: Maj: 1,719)

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan