KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berpandangan bayaran yang dikenakan di Jalan Genting Highlands bukan tol, sebaliknya caj kenderaan bagi laluan persendirian milik pengendali di kawasan peranginan itu.
Beliau berkata penggunaan istilah tepat penting bagi mengelakkan kekeliruan, memandangkan negara sudah mempunyai 33 konsesi tol di lebuh raya sedia ada.
Ahmad turut berpandangan caj kenderaan itu hanya wajar dikenakan kepada pengunjung yang menggunakan laluan berkenaan bagi tujuan rekreasi, pekerja dan pemilik tanah serta premis di kawasan berkenaan tidak dikenakan caj.
"Apakah kesan caj kenderaan itu kepada pihak Genting Highlands? Saya kira jika mereka meletakkan harga yang tinggi, kuranglah pelancong datang ke tempat itu. Itu risiko yang perlu mereka ambil.
"Pelancong akan pergi ke tempat lain yang tidak ada caj ataupun yang bukan jalan persendirian dan pada pandangan saya secara peribadi, pekerja tidak perlulah dikenakan caj," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab celahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang bertanyakan sama ada terdapat akta atau undang-undang khusus berkenaan caj kenderaan yang melalui jalan persendirian, Ahmad berkata tanah dan jalan yang dibina di atasnya tertakluk kepada kerajaan negeri.
“Jika ada peraturan tertentu, saya kira tentunya peraturan itu melibatkan majlis perbandaran yang berkaitan. Jadi, sama ada ada (wujud) peruntukan khusus, ini (pula) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.
Sebelum ini, Genting Malaysia Berhad mengesahkan akan ada bayaran yang dikenakan untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan maklumat lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan sebaik sahaja butiran lanjut mengenai bayaran bagi jalan persendirian (Caj Jalan Persendirian) tersedia.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM10,691,724,400 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, dengan lebih suara bersetuju.
-- BERNAMA
