SEMPORNA, 17 Nov (Bernama) -- Penyusunan penempatan secara sistematik di Kampung Ayer di sini menjadi fokus utama calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya Abdul Manan Indanan dalam usaha menjadikan kawasan itu lebih bersih dan teratur.
Abdul Manan, 54, berkata perkampungan atas air itu perlu disusun semula dengan perancangan rapi agar kebersihannya terjaga.
"Sebab sekarang ini isu yang terkenal (tular) adalah mengenai sampah di Semporna terutama di kawasan perkampungan atas air dan inilah yang kita mahu perbaiki.
"Misi kita supaya aspek kebersihan di sini sentiasa terkawal," katanya ketika ditemui Bernama selepas melawat Pusat Daerah Mengundi di sini hari ini.
Abdul Manan berkata isu lain yang akan diberi tumpuan oleh BN pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah mengenai penempatan kepada penduduk Kampung Ayer susulan terdapat cadangan memindahkan mereka bagi memberi laluan kepada pembangunan.
"Sekiranya ada penempatan untuk mereka, insya-Allah tidak ada masalah tetapi kalau tidak ada pusat pemindahan, kita mahu mempertahankan mereka supaya berada di kampung berkenaan," katanya.
Abdul Manan yang berdepan saingan sembilan penjuru berkata beliau berharap pengundi DUN Bugaya yang mempunyai 36,559 pemilih akan memberi peluang kepadanya untuk memimpin kawasan berkenaan.
DUN Bugaya merupakan antara tiga DUN yang terletak dalam Parlimen Semporna selain Sulabayan dan Senallang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian PRN Sabah manakala undi awal pada 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
| N66: BUGAYA: SABAH: 36,569 | ||||||||||||||||||
|
||||||||||||||||||
| (2020: Manis Muka Mohd Darah: Warisan Plus-Warisan: Maj: 6,005) | ||||||||||||||||||
| (2022: Jamil Hamzah: Warisan: Maj: 6,629) |
-- BERNAMA
