KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Persekutuan Mendaki Malaysia (PMM) telah bersetuju dengan syarat ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa atlet mereka akan bertanding pada Sukan SEA 2025 di Thailand, bulan depan, mengikut Kategori B.
MSN dalam satu kenyataan memaklumkan ini kerana tiada seorang pun atlet mendaki negara berada dalam ranking tiga terbaik di Asia Tenggara sebelum ini sekali gus menyaksikan mereka bertanding di bawah kategori tersebut.
Bagaimanapun, MSN menjelaskan PMM boleh menggunakan peruntukan RM200,000 diberikan MSN di bawah inisiatif program khas Sukan Olimpik 2028 Los Angeles untuk kos latihan dan penyertaan atlet ke kejohanan bertujuan meningkatkan ranking dunia mereka, untuk membiayai kos persediaan atlet ke Sukan SEA 2025.
“MSN sentiasa komited menyokong semua sukan yang berpotensi menghasilkan pencapaian terbaik di peringkat tertinggi, termasuklah sukan mendaki, dan telahpun mengadakan perbincangan bersama PMM untuk persediaan atlet ke Sukan SEA Thailand kali ini,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi memberi penjelasan beberapa laporan media berhubung isu penyertaan atlet sukan mendaki yang mendakwa tidak mendapat sokongan sewajarnya bagi penyertaan ke temasya sukan dwitahunan tersebut.
Atlet yang dipilih untuk ke Sukan SEA berdasarkan Kategori A ialah atlet individu yang menduduki ranking tiga terbaik di peringkat Asia Tenggara dan ranking keempat terbaik bagi penyertaan acara berpasukan sepanjang tempoh September 2023 hingga Ogos 2025.
Penyertaan atlet kategori itu dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan MSN.
Atlet individu yang menduduki ranking keempat hingga keenam di rantau Asia Tenggara untuk tempoh prestasi yang sama pula dibenarkan ke Thailand di bawah Kategori B dan persatuan sukan kebangsaan yang mencalonkan mereka bertanggungjawab membiayai semua kos berkaitan penyertaan.
Kos itu bagaimanapun akan dibayar semula oleh MOM dan MSN jika atlet berjaya membawa pulang pingat daripada Sukan SEA nanti.
“Perlu ditegaskan bahawa semua persatuan sukan kebangsaan yang memohon untuk menghantar atlet mereka di bawah Kategori B kali ini telah menyatakan persetujuan dan kesediaan untuk menanggung semua kos penyertaan itu,” menurut MSN.
Sukan SEA 2025 dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini, melibatkan tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
-- BERNAMA
