AM

SME CORP TERUSKAN SEMINAR 'TECH UP, SCALE UP' DI SABAH LIBAT 150 PKS

17/11/2025 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Siri kedua Seminar Peningkatan Skala Digital untuk PKS: Tech Up, Scale Up! diteruskan hari ini di Kota Kinabalu, Sabah dengan penyertaan lebih 150 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) daripada sektor pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan.

Seminar anjuran SME Corp Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu bertujuan memperkasakan PKS dalam mengoptimumkan penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan penskalaan perniagaan, selaras dengan fokus Rancangan Malaysia Ke-13.

Ia merupakan kesinambungan siri pertama yang diadakan pada 3 Nov lepas di sini.

Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ketika berucap merasmikan seminar berkenaan berkata kerajaan komited untuk mewujudkan ekosistem PKS yang progresif dan berdaya tahan, dengan sasaran 50 peratus sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

“Usaha penskalaan akan diperkukuh melalui program pembangunan kapasiti, pendigitalan dan penambahbaikan operasi perniagaan dengan kerjasama kerajaan dan industri,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy pula mengesyorkan usahawan di Sabah mendaftar Status PKS dan membuat Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE) bagi memudahkan akses bantuan kerajaan serta menilai keupayaan perniagaan secara menyeluruh.

Seminar berkenaan turut mendapat kerjasama strategik daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), selain mempamerkan penyelesaian teknologi melalui mini pameran Tech Spot yang disertai 12 penyedia digital.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pendigitalan PKS MDEC Mohd Redzuan Affandi Abdul Rahim, Pengerusi SAMENTA Sabah Datuk George Lim Su Chung dan Pengerusi FMM Sabah Liaw Hen Kong.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan