KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih MNRB Holdings Bhd untuk suku kedua tahun kewangan 2026 yang berakhir pada 30 Sept 2025 melonjak kepada RM112.26 juta berbanding RM92.74 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.
Pendapatan bagi suku tahun yang ditinjau melonjak 5.5 peratus kepada RM927.57 juta daripada RM878.81 juta selepas didorong oleh prestasi yang cemerlang dalam seluruh segmen takaful am, takaful semula, takaful keluarga terutamanya dalam portfolio takaful semula keluarga dan kenderaan.
"Peningkatan pendapatan secara menyeluruh ini telah disokong oleh pendapatan pelaburan bersih yang lebih tinggi, yang mencerminkan pemulihan dalam pasaran modal Malaysia pada suku tersebut," katanya melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Lonjakan dalam keuntungan ini juga telah disokong oleh pendapatan insurans/takaful yang lebih tinggi, pengukuhan dalam pulangan pelaburan serta kerugian pertukaran asing yang tidak direalisasikan ke atas aset asing, bersama dengan keuntungan nilai saksama yang menguntungkan dalam portfolio ekuiti dan bon.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, jumlah pendapatan kumpulan menokok sebanyak 9.5 peratus kepada RM1.90 bilion daripada RM1.74 bilion.
"Pertumbuhan ini telah dipacu oleh prestasi yang agak baik di seluruh segmen takaful am, takaful semula dan takaful keluarga, sebagai refleksi kepada pengembangan perniagaan kumpulan yang berterusan selain kedudukan pasaran yang kukuh," kata MNRB.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Interim MNRB, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin melalui satu kenyataan berkata hasil positif tersebut mencerminkan kekuatan dalam pelaksanaan strategik dan ketahanan model perniagaannya.
Pertumbuhan dua angka di seluruh metrik utama menunjukkan keberkesanan kepelbagaian portfolio dalam kumpulan, pengunderaitan selektif dan pengurusan modal yang berdisiplin.
"Kami sentiasa memajukan agenda kemampanan dan transformasi digital kami, mengesahkan komitmen kami terhadap inovasi, kecekapan, berpusatkan pelanggan termasuk penciptaan nilai jangka panjang.
"Peningkatan langganan kepada platform dalam talian layan diri kami menunjukkan penglibatan pelanggan yang lebih mantap dan keyakinan yang semakin meningkat terhadap keupayaan digital kumpulan," katanya.
MNRB ketika mengulas mengenai prospek berkata kumpulan itu tetap memberi tumpuan kepada pelaksanaan keutamaan strategiknya untuk memacu pertumbuhan dan keuntungan yang mampan sambil mengekalkan kedudukan modal yang kukuh.
"MNRB akan terus menegakkan disiplin pengunderaitan, meningkatkan kecekapan operasi, mengekalkan portfolio perniagaan yang seimbang selain menguatkan pengurusan risiko bagi mengambil peluang di seluruh segmen perniagaannya.
"Dengan keutamaan ini, kumpulan berada di kedudukan yang baik untuk mengemudi cabaran pasaran dan memberikan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham serta pihak berkepentingannya," katanya.
-- BERNAMA
