Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah hari ini berbanding dolar AS berikutan harapan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) pada Disember semakin tipis.
Sentimen tersebut dipengaruhi kenyataan beberapa pegawai kanan Rizab Persekutuan (Fed) yang memberi isyarat bahawa kadar faedah berkemungkinan dikekalkan buat masa ini.
Pada 6 petang, ringgit merosot kepada 4.1480/1515 berbanding dolar AS daripada 4.1290/1345 ketika ditutup pada Jumaat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan pegawai Fed yang berpengaruh itu sekali gus menyokong pengukuhan dolar AS, dengan Indeks DXY meningkat 0.10 peratus kepada 99.400 mata.
“Selain itu, indikator teknikal menunjukkan ringgit berada dalam keadaan terlebih beli, sekali gus mendorong peniaga mengambil keuntungan dalam pasaran mata wang,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia menyusut berbanding yen kepada 2.6805/6829 daripada 2.6690/6728 pada Jumaat, turun berbanding euro kepada 4.8125/8166 daripada 4.7983/8047 serta susut berbanding pound Britain kepada 5.4608/4654 daripada 5.4313/4385 sebelumnya.
Ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ia merosot berbanding baht Thailand kepada 12.7847/8018 daripada 12.7356/7580, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1864/1893 daripada 3.1720/1765, merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 247.8/248.1 daripada 247.1/247.5 serta susut berbanding peso Filipina kepada 7.04/7.05 daripada 6.99/7.00 sebelumnya.
-- BERNAMA
