IPOH, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan Perak memperkasa agenda inovasi dengan memastikan setiap hasil ciptaan mampu dikembangkan, dikomersialkan dan dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan ekonomi negeri.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada usaha inovasi termasuk melalui kerjasama rapat dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan industri tempatan bagi membawa ciptaan anak Perak ke pasaran lebih luas.
“Pendekatan ini penting dalam membuka peluang pekerjaan baharu, meningkatkan kapasiti industri dan memperkukuh daya saing negeri di peringkat nasional serta antarabangsa.
“Kami tidak mahu inovasi hanya berakhir di meja pertandingan yang dianjurkan, malah ia perlu diteruskan sehingga ke peringkat pelaksanaan dan dipantau supaya benar-benar memberi nilai tambah kepada sistem penyampaian awam dan kehidupan masyarakat,” katanya pada Majlis Anugerah Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2025.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim pada majlis yang diadakan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Saarani berkata inovasi yang berjaya bukan sahaja memudahkan urusan, malah membentuk budaya kerja lebih efisien dan berintegriti dalam kalangan perkhidmatan awam.
“Malaysia kini berada di tangga ke-34 daripada 139 ekonomi dunia dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2025, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai kedua tertinggi di ASEAN selepas Singapura.
“Kedudukan ini membanggakan, namun menjadi peringatan bahawa usaha memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan perlu diteruskan dengan iltizam yang lebih besar,” katanya.
Saarani ketika mengulas mengenai pencapaian inovasi di Perak berkata negeri itu memiliki potensi besar melahirkan inovator berwibawa.
“Antara kejayaan membanggakan ialah Projek Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, yang meraih tempat kedua Anugerah Persatuan Kejuruteraan Jalan Asia dan Australasia (REAAA) di Korea Selatan bagi kategori Jalan untuk Komuniti.
“Kejayaan ini membuktikan kemampuan anak Perak menghasilkan penyelesaian kejuruteraan bertaraf dunia yang memberi manfaat sosial dan ekonomi kepada rakyat,” kata Saarani.
Sebanyak lapan kategori dipertandingkan dalam acara tahunan itu iaitu Anugerah Inovasi Terbuka (AI Terbuka), Anugerah Inovasi Lestari Bumi Hijau (AILBH), Anugerah Inovasi Pejabat Daerah dan Tanah (AIPDT), Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (AIPBT), Anugerah Inovasi Institut Pengajian Tinggi (AIIPT), Anugerah Inovasi Darul Ridzuan (AIDR), Anugerah Inovasi Sekolah Menengah (AISM) dan Anugerah Inovasi Sekolah Rendah (AISR).
Kategori AI Terbuka dimenangi Markas Udara Tentera Laut Diraja Malaysia, Pejabat Daerah dan Tanah Muallim pula menjuarai kategori AIPDT, manakala Majlis Daerah Kampar menang kategori AIPBT.
Kategori AIIPT pula diungguli Kolej Vokasional Taiping, Kolej Komuniti Pasir Salak muncul juara kategori AILBH, manakala kategori AISM dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 4, sementara Sekolah Kebangsaan Toh Ratna Sakti juara kategori AISR, selain kategori AIDR pula dirangkul oleh Abdul Azim Roslan.
Johan membawa pulang RM10,000, naib johan RM8,000 dan ketiga RM5,000 berserta piala iringan dan sijil penghargaan.
-- BERNAMA
