DUNIA

CHINA MULAKAN SEMAKAN HABIS TEMPOH DUTI ANTILAMBAKAN KE ATAS IMPORT NPA DARI AS

17/11/2025 10:08 PM

BEIJING, 17 Nov (Bernama–Xinhua) -- Kementerian Perdagangan China pada Isnin mengesahkan yang ia akan memulakan semakan habis tempoh terhadap langkah antilambakan ke atas n-Propanol (NPA) yang diimport dari Amerika Syarikat mulai Selasa, lapor Xinhua.

Keputusan itu susulan permohonan yang dikemukakan pada 12 Sept 2025 oleh pengeluar NPA domestik yang mewakili industri. Mereka berhujah bahawa penamatan langkah antilambakan boleh menyebabkan kesinambungan atau pengulangan aktiviti lambakan serta menjejaskan kembali industri tempatan.

Menurut pengumuman kementerian itu, duti antilambakan akan kekal berkuat kuasa sepanjang tempoh siasatan semakan habis tempoh itu

Duti semasa mula dikenakan pada 18 Nov 2020 untuk tempoh lima tahun, dengan kadar antara 254.4 peratus hingga 267.4 peratus.

Menurut kementerian itu, siasatan dijadualkan selesai sebelum 18 Nov 2026.

NPA ialah cecair tidak berwarna yang digunakan sebagai pelarut dan bahan perantaraan kimia. Ia digunakan dalam dakwat pembungkusan makanan dan komponen elektrolit bateri litium, serta merupakan bahan mentah penting bagi farmaseutikal, salutan, pelekat, kosmetik dan produk lain.

--BERNAMA–XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan