AM

PERMINTAAN BOT FIBER MENINGKAT MENJELANG MUSIM TENGKUJUH

18/11/2025 12:10 PM

KUALA NERUS, 18 Nov (Bernama) -- Sebuah kedai bot fiber di Kampung Tebauk di sini menjadi tumpuan penduduk tempatan yang membeli bot sebagai persiapan awal menghadapi risiko banjir menjelang musim tengkujuh.

Pengusaha bot fiber Masduki Mohd, 41, berkata permintaan terhadap bot berkenaan meningkat hingga 60 peratus kerana penduduk kini lebih bersedia menghadapi banjir berbanding sebelum ini.

"Kini ramai mula membuat persiapan awal menghadapi banjir. Banyak stok habis dan kami terpaksa menyediakan lebih banyak bot tunggu sedia bagi memenuhi permintaan.

"Bermula dari Oktober hingga Januari tahun depan, kami memang bersiap sedia 24 jam. Kadang-kadang lewat malam pun ada pelanggan datang membeli bot fiber kerana air sudah mula naik dan ada yang ingin menyewa bot untuk menyelamatkan barang," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau yang mengusahakan perniagaan itu bersama adik lelakinya, Masrul Nizam, 26, berkata pelanggan bukan sahaja dari sekitar Terengganu malah ada dari jauh termasuk Rantau Panjang, Pasir Puteh dan Bachok di Kelantan serta Segamat dan Batu Pahat di Johor.

"Peningkatan permintaan bot itu menunjukkan kesedaran tinggi dalam kalangan penduduk untuk membuat persiapan awal menghadapi banjir, sekali gus menambah pendapatan pengusaha bot fiber tempatan," katanya.

Beliau berkata sebelum ini perniagaan yang diwarisi daripada bapanya, Mohd Abu Bakar, 72, turut mengusahakan pembuatan bot fiber di sebuah kilang di Teluk Pasu, Manir.

Bagaimanapun katanya, kilang berkenaan terpaksa ditutup selepas dilanda banjir tiga tahun lepas dan kini proses pengeluaran bot fiber dijalankan di sebuah kilang milik rakan bapanya di Kuantan, Pahang.

"Kami menjual bot fiber berukuran lapan hingga 17 kaki. Bagi kegunaan musim banjir, bot fiber di bawah 14 kaki menjadi pilihan utama dengan harga dijual antara RM900 hingga RM3,500," katanya.

Masduki berkata pada musim biasa, mereka menjual 20 hingga 30 bot fiber sebulan namun jumlah itu meningkat ketika berlaku banjir besar.

“Jika banjir benar-benar berlaku, stok (bot fiber) memang habis. Walaupun bengkel ditutup pada hari Jumaat, kami tetap bersedia menerima panggilan kecemasan bagi membantu penduduk yang berdepan situasi air naik mendadak," katanya.

Beliau berkata selain musim banjir, masih terdapat permintaan bot fiber daripada pelanggang yang menggunakannya untuk memancing atau kegunaan harian, sekali gus membantu perniagaannya bertahan demi kelangsung hidup.

Sementara itu, seorang penduduk Jusoh Ahmad, 50, berkata dia membuat keputusan membeli sebuah bot berharga RM1,500 selepas rumahnya dinaiki air setinggi lebih dua meter setiap kali banjir melanda.

“Tiap-tiap tahun rumah saya dinaiki air. Kali ini, saya mengambil inisiatif membeli bot sebagai persediaan awal kerana saya membela kambing di sekitar kawasan rumah.

 "Ini memudahkan urusan saya memindahkan haiwan ternakan ke kawasan lebih selamat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan