TOKYO, 18 Nov (Bernama) -- Raja Pecut Pekak Asia Tenggara Muhammad Zamir Azman dan rakan sepasukan Hazrul Shah Hamri terkandas di separuh akhir acara 100 meter (m) lelaki pada Deaflympics 2025 di trek Stadium Komazawa Metropolitan hari ini.
Muhammad Zamir menamatkan saringan 3 di kedudukan terbawah dengan catatan masa 11.47 saat (s), manakala Hazrul Shah turut menduduki tangga terakhir dalam saringan 1 dengan 11.73s.
“Saya dah buat persiapan fizikal dan mental sebelum bertanding tapi cuaca hari ini memang sangat sejuk tidak macam semalam, memang luar biasa sampai sedut udara pun rasa sakit.
“Namun ikutkan saya memang sangat berpuas hati dengan prestasi saya di sini tapi saya harap masih boleh buat persiapan untuk kurangkan lagi masa dalam acara seterusnya iaitu 200m,” katanya menerusi jurubahasa isyarat kepada pemberita di sini hari ini.
Ditanya mengenai insiden false start atau salah mula pelari yang berada di lorong berdekatan dengannya, beliau mengakui terkejut kerana pada awalnya menyangka dia yang dikenakan kad kuning.
Sebelum ini, saringan 1 separuh akhir menyaksikan Sasaki Takuma dari Jepun dan atlet Korea Selatan Gong Hyeokjun layak ke final, manakala saringan 3 pula menyaksikan Visnap Tanel dari Estonia dan Andrade Mosquera Gian Marco dari Colombia mara selepas menjadi dua pelari terbaik.
Bagi format acara 100m, hanya dua pelari teratas setiap saringan dan dua masa terpantas berikutnya layak ke final.
Sementara itu, Hazrul Shah berkata beliau sudah memberikan yang terbaik, namun cuaca yang terlalu sejuk menyebabkannya mengalami sakit sendi.
“Saya telah memberikan 100 peratus tenaga yang ada pada diri saya. Kami sudah terbiasa berlatih dalam keadaan yang panas, namun kali ini cabarannya berbeza dan saya berharap persiapan mental dan fizikal saya lagi bagus untuk acara seterusnya,” katanya.
Muhammad Zamir dan Hazrul Shah bersama seorang lagi pelari negara Muhammad Zumar Azman akan bersaing dalam acara 200m bermula Jumaat ini.
-- BERNAMA
