POLITIK

BANTUAN BULANAN WARGA EMAS, DEPOSIT RUMAH UNTUK BELIA JIKA GRS DIBERI MANDAT - HAJIJI

18/11/2025 05:47 PM

KOTA BELUD, 18 Nov (Bernama) -- Belia dan warga emas berusia 60 tahun ke atas di Sabah boleh menjangkakan berita baik sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, melalui dua inisiatif kebajikan sedang dirangka kerajaan negeri.

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri kini meneliti pelaksanaan bantuan bulanan kepada warga emas dan skim sokongan deposit rumah pertama untuk golongan belia sebagai usaha  memperkukuh jaringan perlindungan sosial serta meningkatkan keupayaan anak muda memiliki kediaman.

“Ini sedang dalam perancangan sekarang kerana sebagai sebuah kerajaan sedang memerintah.

“Untuk memberi bantuan kepada yang layak 60 tahun ke atas dan kepada anak-anak muda atau pun rakyat layak, kita bantu mereka untuk membayar deposit rumah (pertama) mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi jelajah kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dan Tempasuk, di sini hari ini.

Hajiji berkata kedua-dua inisiatif berkenaan dijangka membawa impak besar khususnya kepada kumpulan berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kos sara hidup dan harga rumah semakin meningkat, sekali gus memastikan tiada golongan tercicir daripada bantuan kerajaan.

Selain itu, Hajiji turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan calon GRS di DUN Tempasuk Datuk Mohd Arsad Bistari dan Datuk Japlin Akim di DUN Usukan pada PRN ke-17.

Pada PRN ke-17, Mohd Arsad berdepan saingan tujuh penjuru untuk mempertahankan kerusi Tempasuk, manakala Japlin berdepan lima calon lain. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian PRN Sabah ke-17 dan pengundian awal pada 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan