WASHINGTON, 18 Nov (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk meluluskan penjualan pesawat pejuang F-35 kepada Arab Saudi, hanya beberapa jam sebelum Putera Mahkota Mohammed bin Salman dijadual melawat Rumah Putih pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
“Saya boleh katakan bahawa kita akan berbuat demikian. Kita akan menjual F-35,” kata Trump kepada pemberita ketika ditanya sama ada beliau merancang menjual pesawat pejuang canggih itu kepada Arab Saudi.
Trump pada Jumaat lalu berkata Riyadh menunjukkan minat mendalam untuk membeli pesawat buatan Lockheed Martin itu.
“Mereka mahu membeli banyak jet.
“Mereka meminta saya menelitinya. Mereka mahu membeli banyak ‘35,’ malah sebenarnya lebih banyak lagi pesawat pejuang,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika beberapa media AS melaporkan bahawa Trump cenderung untuk menyokong penjualan itu.
Bloomberg, memetik seorang pegawai pentadbiran, melaporkan Trump dan Putera Mahkota dijangka mencapai persetujuan bagi membolehkan Arab Saudi membeli F-35 semasa lawatan itu, selain beberapa aturan ekonomi dan pertahanan lain termasuk perjanjian gas asli cecair (LNG).
-- BERNAMA-ANADOLU
