POLITIK

PERBINCANGAN TUNTUTAN 40 PERATUS HASIL SABAH DI PERINGKAT PEGAWAI KANAN – HAJIJI

18/11/2025 06:14 PM

KOTA BELUD, 18 Nov (Bernama) -- Mesyuarat pertama berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah masih berlangsung di peringkat pegawai kanan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata perbincangan teknikal melibatkan kedua-dua pihak bertujuan mencari penyelesaian terbaik berhubung mekanisme pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil bersih tersebut.

“Ya, mereka sedang berbincang. Saya belum menerima maklumat penuh tetapi Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan pertemuan telah diadakan dengan pihak Persekutuan mengenai mekanisme atau cara menyelesaikan isu 40 peratus itu.

“Perbincangan hanya di peringkat pegawai ketika ini, dengan Setiausaha Kerajaan Negeri mewakili kerajaan negeri, manakala pihak Persekutuan diketuai Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

“Kita masih ada masa. Selepas (mesyuarat) itu barulah keputusan diputuskan antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya kepada pemberita pada sesi jelajah kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dan Tempasuk, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Hajiji enggan mendedahkan perincian mengenai rundingan berkenaan kerana masih dalam proses teknikal yang memerlukan siri perbincangan sebelum mencapai persetujuan.

Pada masa sama, Hajiji optimis proses rundingan itu dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan di negeri ini hampir empat dekad.

Mahkamah turut mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan berhubung tuntutan pemberian khas 40 peratus hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan