SHAH ALAM, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor sedang memberi tumpuan kepada pembinaan kepakaran sumber manusia sebagai langkah awal dalam usaha berterusan negeri untuk meneroka tenaga nuklear sebagai sumber tenaga baharu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembinaan tenaga pakar itu melibatkan pegawai serta jurutera yang kini dihantar ke Tsinghua University di China dan negara-negara lain sebelum kajian kebolehlaksanaan dilakukan.
Beliau berkata bagaimanapun cadangan berhubung penerokaan sumber itu masih di peringkat awal dan tumpuan masih diberikan kepada penelitian terhadap model pembangunan sedia ada.
“Di peringkat awal, kita akan tumpukan kepada pembinaan kapasiti sumber manusia. Kita kena bersedia terutama dari segi kekuatan dan keupayaan kita sendiri.
“Tanpa ada persediaan yang rapi (khususnya kepakaran tempatan), mungkin akan menimbulkan keresahan dalam masyarakat (tentang persepsi atau fungsi tenaga nuklear),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UKM) di Lobi Dewan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin berkata penerokaan sumber baharu itu adalah sebagai persediaan negeri dari terus berharap kepada sumber tenaga fosil yang jumlah deposit semakin berkurangan.
“Kalau dari semasa ke semasa kita bergantung kepada (bahan fosil) import, ia akan kekeringan (kehabisan) dan kosnya lebih mahal sekarang.
“Jadi kita bersedia. Lima tahun yang saya nyatakan untuk kita bersedia memulakan dengan tempoh satu hingga lima tahun pembinaan kapasiti (sumber manusia), kemudiannya pelan tindakan seterusnya pelan induk untuk dibangunkan secara komprehensif,” katanya.
Semalam, Amirudin dilaporkan berkata Selangor dijangka memulakan pelaksanaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih di negeri ini dalam tempoh lima tahun lagi, dan kerajaan negeri kini berada dalam fasa awal peneroka, termasuk pembangunan kepakaran berkaitan.
-- BERNAMA
