POLITIK

PRN SABAH: PH LANCAR MANIFESTO KHAMIS INI

18/11/2025 08:05 PM

LAHAD DATU, 18 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada Khamis ini, dengan fokus utama terhadap cadangan penubuhan tabung khas bagi rakyat Sabah.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata manifesto itu akan menekankan keperluan menyelesaikan isu-isu asas yang dihadapi negeri ini.

Beliau berkata manifesto itu tidak mengandungi janji yang melampaui kemampuan, sebaliknya menekankan kesinambungan dalam menunaikan janji Kerajaan MADANI yang sebahagiannya telah ditunaikan.

"Kesinambungan ini bagi memastikan peruntukan kerajaan pusat benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat dan menyelesaikan masalah asas pada peringkat negeri", katanya dalam sidang media bersama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama Romansa Lamin. 

Mustapha berkata antara perkara yang ditekankan dalam manifesto PH adalah mewujudkan tabung khas bagi menyalurkan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

"Kita mahu supaya hasil 40 peratus itu diletakkan dalam satu tabung khas agar penggunaan dana tersebut dibuat secara telus dan rakyat mengetahui ke mana aliran duit berkenaan termasuk memberikan keutamaan kepada penyelesaian isu asas,” katanya.

DUN Segama yang mempunyai 29,840 pengundi pada PRN ke-17 dipertandingan buat kali pertama pada pilihan raya lepas. 

 

N61: SEGAMA: SABAH: 29,840

1. Datuk Mohamaddin Ketapi             (Bebas)

2. Muhammad Abdul Karim                (Warisan)

3. Alif Afiandy Ali                                 (Bebas)

4. Ehtisham Ur Rahman Mhaulaha     (PIS)

5. Norman Kasimin                              (Bebas)

6. Romansa Lamin                               (PH-PKR)

7. Yvonne Yong Yit Phung                    (SAPP)

 

(2020: Datuk Mohamaddin Ketapi: Warisan Plus-Warisan: Maj: 2,168)

(Kini: Bebas)

-- Bernama

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan